[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

[KOLUMNIS] Tenaga Nuklear: Antara keperluan masa depan dan realiti pelaksanaan

Hasimi Muhamad 27/11/2025 | 11:11 MYT
Tenaga nuklear dilihat sebagai pilihan strategik untuk memastikan bekalan tenaga yang selamat, mampan, dan berdaya tahan pada masa hadapan. - Gambar fail
KETIKA dunia berlumba memastikan keselamatan tenaga jangka panjang, pembangunan tenaga nuklear semakin diiktiraf sebagai antara sumber elektrik paling bersih, stabil dan mampan.

Malaysia kini tidak terkecuali daripada arus perubahan itu apabila kajian semula dasar tenaga negara membuka ruang kepada penilaian keupayaan teknologi nuklear, termasuk penggunaan reaktor modular kecil atau Small Modular Reactor (SMR).

Penggunaan teknologi SMR turut menarik perhatian kerana saiznya lebih kecil, masa pembinaannya lebih singkat dan mudah disepadukan dengan grid negara.

Secara asasnya, tenaga nuklear berfungsi melalui proses penceraian atom uranium di dalam teras reaktor bagi menghasilkan haba. Haba yang terhasil memanaskan air hingga menjadi wap seterusnya memutar turbin yang disambung kepada penjana elektrik.

Mekanisme ini bukan sahaja menjana tenaga pada skala besar, malah menawarkan faktor kapasiti yang tinggi, membolehkan loji nuklear beroperasi secara konsisten tanpa terikat dengan cuaca atau turun naik sumber semula jadi.

Di peringkat global, lebih 30 negara telah mengoperasikan ratusan reaktor nuklear bagi memenuhi keperluan tenaga domestik. Amerika Syarikat, Perancis, China, Rusia dan Korea Selatan merupakan antara negara yang menjadikan nuklear sebagai tunjang utama sistem tenaga nasional.

Kejayaan Perancis misalnya, yang memperoleh sebahagian besar elektriknya daripada nuklear, membuktikan teknologi tersebut mampu menyediakan bekalan yang stabil dengan jejak karbon rendah.

Beberapa negara anggota ASEAN juga sudah memulakan pembangunan tenaga nuklear. Sebagai contoh, Filipina menyasarkan penjanaan 4,800 megawatt menjelang 2050, Vietnam memperkenalkan semula nuklear dalam pelan tenaganya, manakala Indonesia meneroka reaktor modular kecil (SMR) dan reaktor terapung menjelang 2030.

Begitu juga Thailand dan Myanmar memeterai perjanjian kerjasama dan memorandum persefahaman dengan Rusia dan Rosatom bagi mengkaji SMR pada tahun 2022.

Isu keselamatan sering menjadi persoalan utama setiap kali perbincangan mengenai nuklear dibangkitkan. Namun, statistik antarabangsa menunjukkan tenaga nuklear berada antara sumber tenaga paling selamat dari segi kadar kematian per unit tenaga yang dihasilkan.

Peraturan ketat, sistem keselamatan bertingkat dan rekabentuk reaktor moden, termasuk SMR mengurangkan risiko kegagalan operasi secara signifikan. Banyak negara maju turut memperkukuh piawaian pasca insiden Fukushima, menjadikan standard keselamatan global semakin ketat dan bersepadu.

Dari sudut ekonomi, kos pembinaan loji nuklear sememangnya tinggi, namun kos operasi dan bahan api relatif rendah. Ini menjadikan harga elektrik lebih stabil dalam jangka panjang.

Bagi pengguna domestik, manfaatnya bergantung kepada model pembiayaan dan dasar tarif negara. Sekiranya dibiayai secara mampan dan berperingkat, tenaga nuklear berpotensi mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil yang lebih mahal dan terdedah kepada turun naik pasaran global.

Malaysia sendiri dilihat berupaya melaksanakan teknologi ini sekiranya rangka kerja perundangan, institusi pengawalseliaan serta persediaan kepakaran diperkukuh. Kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjadi langkah awal penting sebelum kerajaan membuat keputusan dasar muktamad.

Datuk Seri Fadillah Yusof - Foto fail


PETRA di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sedang menerajui usaha pembangunan tenaga nuklear di Malaysia melalui Program Pembangunan Tenaga Nuklear (MYPOWER).

Pelaksanaannya termasuk pembentukan pasukan petugas teknikal, penyediaan infrastruktur dan tadbir urus, dan usaha untuk menjadikan tenaga nuklear sebagai sumber elektrik bersih yang selamat dan mampan, seiring dengan piawaian antarabangsa.

Tenaga nuklear dilihat sebagai pilihan strategik untuk memastikan bekalan tenaga yang selamat, mampan, dan berdaya tahan pada masa hadapan sejajar dengan matlamat negara untuk diversifikasi tenaga, mengurangkan pelepasan karbon, dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

PETRA telah menguruskan belanjawan untuk program MYPOWER, dengan peruntukan khusus untuk kesiapsiagaan infrastruktur dan tadbir urus, seperti yang disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Kajian prakebolehlaksanaan telah disiapkan dan menunjukkan potensi tenaga nuklear dalam menyediakan bekalan elektrik yang stabil. PETRA bersama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sedang membentuk enam pasukan petugas teknikal untuk memfokuskan pada dasar, undang-undang, teknologi, dan pembangunan bakat nuklear.

Foto Reuters


Menuju realisasi pelaksanaannya, pelan tindakan nuklear telah disokong oleh Kabinet di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13). Menerusi Belanjawan 2026, PETRA memperuntukkan RM28.6 juta bagi inisiatif MYPOWER dalam aspek kesiapsiagaan infrastruktur dan tadbir urus tenaga nuklear mengikut piawaian International Atomic Energy Agency (IAEA).

Kajian kebolehlaksanaan tenaga nuklear termasuk membabitkan SMR sedang dijalankan bagi menilai potensi tenaga itu sebagai sumber tenaga asas yang stabil di kawasan yang menghadapi cabaran tersendiri dalam pelaksanaan tenaga boleh baharu (RE).

Fadillah yang juga Menteri PETRA sebelum ini berkata, kajian itu juga akan meneliti dengan teliti strategi pengurusan sisa bagi memastikan tenaga nuklear dapat diintegrasikan secara bertanggungjawab dalam ekosistem tenaga lestari negara.

Kajian ini turut membabitkan isu perundangan dengan melihat keperluan pindaan undang-undang sedia ada serta pengenalan akta baharu berkaitan nuklear.

Selain aspek teknikal, penerimaan masyarakat dan komunikasi awam merupakan komponen penting yang perlu diberi keutamaan.

Penjelasan telus mengenai keselamatan, pengurusan sisa radioaktif, pemilihan tapak dan prosedur kecemasan akan membina keyakinan rakyat terhadap kemampuan negara mengurus teknologi berimpak tinggi ini dengan bertanggungjawab.

Dalam hal ini, penilaian terhadap keselamatan, perlindungan serta keselamatan turut menjadi sebahagian daripada kajian berkenaan bagi memastikan teknologi yang dipilih benar-benar sesuai dan selamat untuk digunakan di Malaysia.

Dalam konteks keperluan tenaga masa depan serta aspirasi Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon, nuklear bukan lagi isu perlu atau tidak, tetapi bilakah dan bagaimana ia mampu dilaksanakan dengan selamat, berkesan dan mengikut piawaian antarabangsa.

Jika dirancang dengan rapi dan berpandukan bukti saintifik, tenaga nuklear mampu menjadi elemen penting dalam memastikan kelestarian dan keselamatan tenaga negara untuk dekad mendatang.



* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.









#tenaga nuklear #Fadillah Yusof #ASEAN 2025 #teknologi