MALAYSIA

[KOLUMNIS] Teras lakar semula pembangunan negara bermula, harapan rakyat tinggi

G Manimaran 31/12/2025 | 04:20 MYT
Secara keseluruhan harapan rakyat bagi lima tahun akan datang merangkumi usaha-usaha mengawal kos sara hidup lebih berkesan. - Gambar hiasan
INSTITUT Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya telah mengadakan sejumlah siri sesi libat urus dan perbincangan kumpulan berfokus (FGD) di seluruh negara setakat ini bagi mendapatkan input berkaitan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Ia sebahagian daripada pendekatan jerayawara dengan kerjasama Kementerian Ekonomi.

Setakat ini usaha ini telah membawa hasil yang amat memberangsangkan, dengan banyak saranan, pandangan dan syor, yang amat bernas, telah diutarakan dan dikongsi oleh para peserta untuk perhatian dan tindakan pasukan kajian RMK13 pimpinan Pengarah Eksekutif Inpuma, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Pasukan kajian melihat usaha itu sudah tentu akan membantu kerajaan dalam memahami harapan rakyat agar kehidupan mereka terus dipertingkatkan.

Rata-rata harapan rakyat sangat mudah dan bersifat langsung.

Dalam setiap pertemuan mereka berkongsi harapan dan keperluan dengan dengan jujur.

Mereka mahukan kehidupan yang lebih berkualiti. Harapan sedemikian adalah lumrah hidup mana-mana individu dan ia perlu diterjemahkan oleh kerajaan menerusi pelan tindakan dan dasar yang konstuktif.

Situasi yang sama telah disaksikan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

Pemerhatian di lapangan dan laporan media menunjukkan banyak isu kempen pilihan raya telah berkisar kepada keperluan agar kerajaan menyediakan lebih banyak perancangan yang akan membawa kemudahan, prasarana dan sistem membina, yang boleh menyumbang kepada penambahbaikan kehidupan rakyat di kesemua kawasan bandar dan luar bandar.

Bermaksud rakyat di setiap kawasan, wilayah dan negeri mengharapkan rancangan Malaysia setiap lima tahun akan membawa kemajuan, kesejateraan dan kemaklumaran kepada mereka.

RMK13 yang diluncurkan Julai lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilaksanakan mulai esok untuk satu tempoh lima tahun sehingga 2030.

Rancangan Malaysia amatlah penting untuk menyusun pelan pembangunan sama ada yang berbentuk fizikal mahupun bukan fizikal.

Sehingga tahun ini negara telah 12 Rancangan Malaysia dan dua Rancangan Malaya (sebelum Persekutuan Malaysia dibentuk).

RMK13 menyediakan kesinambungan ke arah itu.

Sehubungan itu, sesi libat urus awam yang diadakan merupakan satu langkah atau pendekatan yang amat baik, membina dan konstruktif dalam mendapatkan pandangan rakyat, yang diyakini secara langsung akan membantu pihak kerajaan dalam mendapatkan sebanyak mungkin input daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Pengalaman kami di Inpuma menunjukkan bahawa sesi libat urus dan FGD telah mengeratkan lagi hubungan di antara rakyat dan kerajaan, dalam menyelesaikan banyak isu rakyat, pembangunan, dan seterusnya membantu merancakkan ekonomi dan menambah baik kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Para peserta telah berpeluang untuk membantu dalam proses himpunan maklumat yang sangat berharga untuk tindakan jangka panjang.

Oleh itu, diyakini bahawa kerjasama di kesemua peringkat akan membawa kemajuan berterusan menerusi pelaksanaan RMK13.

Walaupun RMK13 telah dibentang dan diluluskan Parlimen usaha menggumpul pandangan dan input daripada rakyat pelbagai lapisan masyarakat wajar diteruskan bagi memperkukuh dan memantapkan pelaksanaan RMK13.

Proses menerima pandangan para pemegang taruh wajar diteruskan dari semasa ke semasa.

Dasar pembangunan dalam bentuk RMK13 bukan sesuatu yang statik.

Kedinamikan boleh ditambah baik dengan menjalankan kajian lebih mendalam untuk melihat hasil yang lebih besar demi mereka yang memerlukan.

Malah ia boleh menambah baik ketelusan dan mengelakkan sebarang kemungkinan kegagalan.

Harapan rakyat Malaysia menjelang 2026 banyak tertumpu kepada kestabilan ekonomi, kos sara hidup yang terkawal, peluang pekerjaan berkualiti, serta tadbir urus yang telus.

RMK13 dengan tema “Melakar Semula Pembangunan” berperanan sebagai pelan lima tahun untuk memenuhi aspirasi ini melalui tiga teras utama, iaitu “Memperkukuh Tatakelola Baik”, “Menaikkan Siling”, dan “Menaikkan Lantai”.

Secara keseluruhan harapan rakyat bagi lima tahun akan datang merangkumi usaha-usaha mengawal kos sara hidup lebih berkesan.

Rakyat mahukan harga barang asas yang stabil serta akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang mampu milik.

Rakyat juga mahukan peluang pekerjaan berkualiti dan pendapatan lebih baik agar peluang pekerjaan bukan sekadar jumlah atau kuantiti; juga mahukan berpendapatan wajar selaras dengan kemahiran dan kelayakan akademil.

Sebahagian rakyat juga mahukan keadilan sosial dan inklusiviti. Kumpulan B40 dan M40 mahu dilindungi daripada jurang pendapatan yang semakin melebar.

Harapan seterusnya ialah tadbir urus telus dan baik.

Kerajaan kini memberi penekanan ke atas soal tatakelola. Rakyat turut menuntut supaya diadakan sistem yang lebih baik bagi memastikan negara bebas daripada rasuah.

Tidak ketinggalan ialah kelestarian alam sekitar; aspirasi agar pembangunan tidak mengorbankan ekologi, selaras dengan agenda alam sekitar, sosial dan governans (ESG) dan matlamat Pembangunan mampan (SDG).

RMK13 digubal sebagai kesinambungan kepada Ekonomi Madani dan menekankan transformasi struktur ekonomi negara.

Sembilan tumpuan utama RMK13 termasuklah memperkukuh sistem tadbir urus, memperluas peluang ekonomi, meningkatkan kualiti hidup, serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial.

Laporan RMK13 juga menggariskan keperluan untuk membawa keseimbangan pembangunan dan tadbir urus baik dengan fokus kepada kehidupan berkualiti rakyat. Ini kelainan yang ditekankan oleh RMK13; satu kelainan yang dibawa untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pun begitu, daripada segi cabaran pelaksanaan, rakyat sering skeptikal kerana rancangan lima tahun kadangkala gagal diterjemah di peringkat akar umbi. Banyak faktor menjadi punca termasuk faktor-faktor di luar kawalan.

Rancangan makro sering sukar difahami rakyat biasa dan oleh itu perlu ada komunikasi jelas dan mudah sepanjang masa.

Harapan rakyat Malaysia menjelang kehadiran tahun baharu 2026 ialah hidup lebih sejahtera, peluang ekonomi lebih adil, dan kerajaan yang telus.

RMK13 menjadi instrumen penting untuk merealisasi dan menterjemahkan harapan ini. Kejayaan bergantung kepada pelaksanaan yang konsisten, komunikasi yang jelas, dan keberanian politik untuk menstruktur semula ekonomi.

Pelaksanaan tahun pertama (rolling plan one) RMK13 bermula Januari 2026 bersama Belanjawan 2026.

Kedua-dua dasar ini menyediakan dana tertinggi dalam sejarah negara.

Dengan teras utama RMK13 “Memperkukuh Tatakelola Baik”, “Menaikkan Siling”, dan “Menaikkan Lantai”, semoga harapan rakyat menjadi realiti dan membawa kehidupan berkualiti secara total.

Selamat Tahun Baharu 2026.



* Dr G Manimaran ialah Koordinator Media Kajian Projek RMK13 di Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) dan penganalisis pilihan raya.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.


#Kolumnis AWANI #Tahun Baharu 2026 #Harapan Rakyat #RMK13