[KOLUMNIS] Tercapaikah kemenjadian murid melalui PdPR?

Dr Hayati Ismail
Jun 8, 2021 05:32 MYT
Penglibatan ibu bapa menjadi lebih penting dalam memastikan keberhasilan murid kerana lokasi pembelajaran murid kini di rumah. - Gambar hiasan
MENTERI Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan disambung selama 25 hari sehingga 25 Julai 2021 bagi negeri-negeri Kumpulan A, dan 26 Julai 2021 untuk negeri Kumpulan B. Langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sememangnya amat wajar, memandangkan negara masih lagi berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19 yang amat kritikal. Negara kini berada dalam kedudukan antara 40 negara teratas yang mempunyai kes jangkitan COVID-19 di dunia, satu kedudukan yang tidak boleh dibanggakan dalam situasi di mana nyawa menjadi taruhan.
Satu persoalan adalah mengenai sama ada kurikulum yang ditetapkan dapat diselesaikan sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Dokumen Penjajaran Kurikulum (DPK). KPM telah mengambil langkah proaktif pada tahun 2020 untuk menjajarkan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Menengah (KSSR dan KSSM) untuk disesuaikan dengan situasi pembelajaran yang tidak menentu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan perintah kawalan bersasar seterusnya. KPM menyediakan Manual PdPR pada bulan Oktober 2020 sebagai garis panduan untuk membantu guru melaksanakan PdPR sebagai alternatif pembelajaran norma baharu. Pembelajaran boleh berlaku dalam tiga situasi berbeza mengikut kesesuaian iaitu secara:
· dalam talian apabila terdapat capaian Internet dan penggunaan peranti yang membolehkan murid belajar dalam masa sebenar (real time);
· luar talian berlaku apabila murid belajar menggunakan peranti seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar tanpa capaian Internet; atau
· off-site, iaitu kaedah pembelajaran yang berlaku di lokasi seperti di pusat komuniti, atau di mana-mana premis yang diisytiharkan sebagai pusat pemindahan.
Sehingga bulan Mei 2021, pelbagai kaedah yang telah digunakan oleh para guru yang begitu komited untuk memastikan setiap murid dapat meneruskan pembelajaran walaupun dalam keadaan serba mencabar. Bagi mereka yang tidak mempunyai masalah capaian, guru telah menggunakan pelbagai aplikasi instruksional dalam talian untuk membantu mereka menjadi kelas lebih kondusif untuk pembelajaran. Kini collaborative tools atau perisian kolaboratif seperti Padlet, Quizziz, Nearpod atau Kahoot digunakan secara meluas oleh para guru ni negara ini. Murid yang menghadapi masalah capaian tidak dipinggirkan, warga pendidik menyediakan modul bercetak yang boleh diambil oleh ibu bapa di sekolah, malah terdapat juga guru-guru di kawasan pedalaman yang mengambil inisiatif meredah perjalanan yang sukar menghantar modul PdP demi memastikan setiap murid tidak ketinggalan dalam pembelajaran. Acap kali dalam ucapan beliau, Menteri Kanan Pendidikan menyebut tentang pelaksanaan PdPR adalah mengikut kesesuaian guru dan murid, atas kesedaran bahawa guru dan sekolah lebih tahu keperluan dan cara mendepani kekangan yang dihadapi oleh murid.
Kejayaan PdPR ini sebenarnya amat bergantung kepada komitmen pelbagai pihak berkepentingan dalam memastikan kemenjadian murid, sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) melalui Enam Aspirasi Murid yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Dalam penulisan saya sebelum ini melalui artikel bertajuk ‘Guru dan Ibu Bapa Wira Pendidikan Era COVID-19’ susulan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan mengenai pembukaan sekolah, saya menyentuh tentang Anjakan ke-9 PPPM 2013-2025 menjadi yang semakin penting. Hal ini adalah kerana proses pendidikan bukanlah setakat guru menyampaikan ilmu kepada murid, tetapi merupakan proses berterusan dalam memastikan ilmu, kemahiran dan nilai dapat dibangunkan dalam diri murid tersebut. Justeru penglibatan ibu bapa menjadi lebih penting dalam memastikan keberhasilan murid kerana lokasi pembelajaran murid kini di rumah.
Namun begitu realiti pelaksanaan PdPR bukanlah sesuatu yang mudah. Dalam satu murid yang dapat melalui PdPR dengan jayanya, ada sepuluh lagi murid yang berhadapan dengan pelbagai cabaran. Masalah capaian dan peranti menjadi igauan bagi sesetengah ibu bapa yang mungkin mempunyai lebih daripada seorang anak yang melalui PdPR. Seorang anak yang bertanggungjawab mungkin tidak sanggup melihat ibunya menjaga dan menguruskan adik beradik lain yang ramai yang memerlukan perhatian, justeru sanggup tidak mengikuti kelas dalam talian demi membantu ibu tersayang. Seorang anak yang kasihkan ayahnya pasti tidak tahan melihat ayah membanting tulang di kebun berseorangan, justeru mengorbankan masa belajar demi meringankan beban ditanggung ayahnya. Situasi sebegini sememangnya berlaku, dan memerlukan intervensi secara khusus daripada pihak sekolah, komuniti dan lain-lain pihak berkepentingan untuk mewujudkan satu ekosistem pembelajaran yang menjurus kepada kemenjadian murid.
Langkah yang diambil oleh KPM untuk memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah sangat bijak dalam situasi pandemik yang penuh ketidak tentuan ini. Jelas bahawa usaha ini adalah sebahagian inisiatif KPM untuk memberikan pengupayaan kepada sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menentukan intervensi yang lebih berfokus mengikut keperluan murid di kawasan masing-masing. Tidak perlu lagi sekolah berlumba-lumba untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Pusat, tetapi memberi fokus kepada kemenjadian murid selaras FPK. Murid yang sanggup berkorban masa pembelajaran untuk membantu ibu bapa mereka inilah yang perlu dibantu agar mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran. Pentaksiran yang dilakukan dalam PdPR seharusnya lebih holistik yang tidak hanya mengukur kemampuan kognitif murid atau dari segi intelektualnya tanpa meminggirkan aspek emosi, rohani dan jasmani. Sebagai pendokong FPK, pastinya warga pendidik akan menjadi lebih kreatif melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dengan kerjasama ibu bapa dan pentadbir pendidikan di kawasan masing-masing.

* Penulis merupakan Pengarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#PKP #COVID-19 #pandemik #pengajaran dan pembelajaran #pendidikan #telefon pintar #sekolah #Kementerian Pendidikan #kemenjadian #PdPR #dalam talian #luar talian #off site #kemahiran #ilmu #keberhasilan murid #kurikulum #capaian #Internet