MALAYSIA
[KOLUMNIS] Ubah kamus pekerjaan Malaysia dengan reka bentuk semula dan penjenamaan
KETIKA berkelana, saya suka memerhati dan berfikir tentang apa yang saya lihat. Baru-baru ini, saya transit di Seoul, Korea Selatan bagi satu misi khusus dengan sebuah kerajaan di Asia Timur. Ketika berada di lapangan terbang Seoul, saya melihat satu pemandangan yang membuatkan saya termenung: semua pekerja di lapangan terbang adalah rakyat tempatan. Penarik troli, ground staff yang menguruskan luggage, kargo dan pelepasan kapal terbang—semuanya wajah tempatan, bukan asing.
Ringkasan AI
- Penulis memerhati bahawa semua pekerja lapangan terbang di Seoul adalah rakyat tempatan, berbeza dengan situasi di Malaysia yang bergantung kepada pekerja asing untuk pekerjaan 3D, dan mengaitkan fenomena ini dengan persepsi sosial serta kadar gaji.
- Penulis mencadangkan agar reka bentuk semula pekerjaan dilakukan terlebih dahulu dengan menambah nilai, automasi dan laluan kerjaya agar pekerjaan menjadi lebih menarik kepada rakyat tempatan sebelum penjenamaan dilakukan.
- Penjenamaan pekerjaan perlu dilakukan secara strategik untuk mengubah persepsi masyarakat, dan semua pihak termasuk kerajaan dan industri perlu bekerjasama mengubah -kamus pekerjaan- Malaysia agar pekerjaan 3D tidak lagi dilihat sebagai hak eksklusif pekerja asing.
Jadi, mana satu yang betul? Pada pandangan saya, jawapannya terletak pada gaji dan profil pekerjaan sebagai penentu utama daya tarikan bakat tempatan. Jika tidak, bagaimana pula kita menjelaskan fenomena rakyat Malaysia yang rela bekerja sebagai tukang cuci atau jurujual di Singapura? Bezanya bukan pada jenis pekerjaan semata-mata, tetapi pada kadar gaji dan nilai pekerjaan yang ditawarkan.
Reka Bentuk Semula Dahulu Bagi Mengubah Struktur Pekerjaan
Inilah sebabnya saya percaya langkah pertama yang perlu kita lakukan ialah reka bentuk semula pekerjaan. Jika sesuatu pekerjaan itu terlalu rendah kemahiran, terlalu berulang atau terlalu “3D”, rakyat tempatan tidak akan tertarik walaupun kita cuba reka bentuk semula seindah mungkin. Reka bentuk semula pekerjaan bermakna:
- Tambah nilai dan kemahiran – contohnya, bukan sekadar “pekerja ladang” tetapi teknologi agro pintar yang menguruskan mesin dan sensor.
- Kurangkan beban fizikal melalui automasi dan sokongan peralatan.
- Perkukuh laluan kerjaya dan kebajikan supaya ada ruang untuk mobiliti sosial.
- Dengan cara ini, pekerjaan itu selari dengan aspirasi masyarakat tempatan. Tanpa reka bentuk semula, penjenamaan semata-mata hanya akan kelihatan kosmetik, dan orang akan cepat nampak “tembelang”.
Selepas pekerjaan itu diubah suai dan ditambah nilai, barulah kita boleh melakukan penjenamaan pekerjaan. Penjenamaan ialah seni membina persepsi dan maruah kepada sesuatu peranan. Caranya:
- Menjadikan pekerjaan itu sebagai laluan kerjaya, bukan sekadar kerja sementara.
- Mengaitkan dengan kebanggaan nasional – contohnya “pekerja pelabuhan” sebagai frontliner ekonomi negara.
- Menambah baik profil profesional dengan pensijilan, latihan dan pengiktirafan.
Ubah Kamus Pekerjaan Malaysia
Kerajaan, pemain industri, persekutuan pekerja, dan majikan perlu sama-sama mengubah kamus pekerjaan Malaysia. Kita tidak boleh terus membiarkan pekerjaan 3D dianggap sebagai hak eksklusif pekerja asing. Formula ringkasnya, apabila struktur pekerjaan sudah lebih baik, barulah penjenamaan boleh memainkan peranan untuk mengangkat imejnya. Dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja dapat menarik lebih ramai rakyat tempatan, tetapi juga mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan membina semula maruah pekerjaan di Malaysia.
* Penulis merupakan bekas Ketua Ekonomi Buruh di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Beliau aktif mengikuti perkembangan ekonomi dan pasaran buruh di Malaysia. ** Artikel ini adalah pandangan peribadi dan/atau berdasarkan bidang tugasnya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami