MALAYSIA
[KOLUMNIS] Warna persahabatan sinema ASEAN di kota Bangkok
PENYAIR terkenal, Khalil Gibran pernah berkata “persahabatan bukanlah sebuah kesempatan, tapi merupakan tanggungjawab yang manis.”
Ringkasan AI
- Penulis menghadiri SPLASH: Soft Power Forum 2025 dan Thailand Content Experience 2025 di Bangkok sebagai sebahagian usaha Thailand memperkasa kuasa lunak melalui sektor gaya hidup dan ekonomi kreatif.
- Thailand menggerakkan strategi kuasa lunak sejak 2022 melalui dasar 5Fs, kini diperluas kepada 14 sektor gaya hidup, dengan penubuhan agensi THACCA di bawah Pejabat Perdana Menteri untuk penyelarasan nasional.
- Acara tersebut menjadi platform diplomasi budaya dan jaringan industri, memperkukuh hubungan serantau serta menyumbang kepada aspirasi perpaduan ASEAN.
Minggu ini saya berada di kota Bangkok -- untuk entah kali ke berapa -- bagi menghadiri dua acara; yang dianjurkan sebagai sebahagian inisiatif Thailand dalam kempen memperkasa kuasa lunak (soft power) di negara ini.
Saya secara peribadi mula mengikuti mengenai inisiatif berkenaan kuasa lunak Thailand ini sejak tahun lalu, melalui beberapa rakan penerbit dan pembikin filem di sini.
Usaha Thailand dalam memperkukuh kedudukan ekonomi dan sosial negara, sekali gus menjadi medium diplomasi yang efektif.
Untuk mempamerkan inisiatif ini kepada khalayak khususnya warga tempatan, sebuah acara nasional dirangka secara besar-besaran diberi nama `SPLASH – Soft Power Forum 2025`.

Forum di SPLASH
Tahun ini merupakan tahun kedua ia dianjurkan, sebagai platform advokasi dan promosi kepada masyarakat mengenai projek jangka panjang ini.
Agenda kuasa lunak ini mula digerakkan secara agresif oleh negara ini sejak tahun 2022 apabila Perdana Menteri ketika itu, Prayut Chan-o-cha memformalkan sokongan kerajaan melalui dasar `5 Fs` (food, film, fashion, fighting arts, festivals) pada tanggal 19 April 2022.
Pada tahun 2023, Perdana Menteri selepas itu, Srettha Tavisin melanjutkannya sebagai agenda utama negara dengan mengembangkan komponennya kepada 14 sektor gaya hidup utama yang dikenal pasti bagi menjadi pemacu kekuatan budaya dan ekonomi negara, iaitu pelancongan (tourism), masakan (cuisine / food), filem dan televisyen (film & television), fesyen (fashion), festival, sukan (sports), muzik (music), seni visual / halus (arts / visual arts), reka bentuk (design), permainan / permainan video (gaming), kesusasteraan (literature), kesihatan & kesejahteraan (wellness & healthcare), seni persembahan (performing arts), serta penyiaran (broadcasting).
Meski dalam ketidaktentuan politik yang sedang berlaku di negara ini, agenda ini tetap berjalan seperti dirancang.
Jawatankuasa Strategi Kuala Lunak Kebangsaan (National Soft Power Strategy Committee) telah dibentuk bagi menjadi peneraju, sementara menunggu proses penubuhan sebuah agensi khusus bagi mengawal selia usaha ini -- iaitu Thailand Creative Culture Agency (THACCA) yang dijangka selesai dan tertubuh secara rasmi pada tahun hadapan.

Forum di SPLASH
THACCA akan diletakkan di bawah tanggungjawab langsung Pejabat Perdana Menteri yang membolehkan ia merangka serta bergerak rentas kementerian – menjadikan ia sebuah usaha nasional yang berintegrasi dan bersepadu.
Saya bertuah kerana kebetulan bertemu seorang sahabat yang sudah lama berkenalan di media sosial, namun baru pertama kali dapat berjumpa secara fizikal.
Beliau merupakan salah seorang pegawai di Kementerian Kebudayaan Thailand yang mana terlibat langsung dalam usaha penubuhan THACCA serta jawatankuasa strategi tersebut.
Beberapa hari acara, kami sempat berbual panjang -- diperkenalkan kepada beberapa rakan lain yang terlibat -- malah beliau sempat membawa saya melawat sekitar acara sambil berkongsi dengan lebih terperinci mengenai agenda serta usaha tersebut.
Segala inisiatif dan pelan ekonomi serta sosial negara distruktur di bawah payung agenda OFOS (One Family One Soft Power).
Beberapa elemen gaya hidup Thailand yang sudah sedia dominan seperti urutan Thai (Thai massage), Muay Thai, siri drama Thai (lakorn) dan banyak lagi diangkat dan diperkasa secara berstruktur sebagai antara komponen utama kempen yang holistik ini.
Ini adalah usaha Thailand dalam memposisikan negara mereka dalam peta dunia melalui gaya hidup dan ekonomi kreatif -- sebagai komoditi ekonomi serta medium diplomasi.
Saya percaya kejayaan Korea Selatan menggerakkan gelombang K-Pop sejak 30 tahun lalu menjadi antara rujukan utama.
Salah satu sesi pembentangan yang paling saya nantikan dalam SPLASH kali ini berjudul “Global Voices, Local Stories: The Role of Film in Cultural Diplomacy” yang disampaikan oleh Michael J Young, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif New York Film Academy (NYFA).
Beliau berkongsi pengalaman NYFA selaku sebuah organisasi dengan komuniti dari seluruh dunia memanfaatkan filem sebagai platform membina dunia yang lebih baik dan berdaya huni untuk semua.
Sepanjang penubuhan, NYFA telah menerima pelajar daripada 160 buah negara, dengan dalam tempoh 15 tahun terakhir, seramai 800 orang pelajar daripada pelbagai negara Asia Tenggara telah menyertai mereka.
Selain itu, satu lagi sesi forum yang turut menarik perhatian saya adalah “Reframing Thailand; Shaping a Thai Film Industry That Captures the World’s Attention” yang dikendalikan Timbalan Pengarah Thai Film Archive yang juga seorang pengkritik filem terkenal - Kong Rithdee – selaku moderator.
Salah seorang panel adalah Nicholas Simon, pengasas dan CEO Indochina Production -- produksi yang terlibat dalam penerbitan White Lotus, Extraction, The Creator dan banyak lagi.
Fenomena global dalam siri drama `White Lotus` baru-baru ini menambah keyakinan Thailand terhadap impak besar yang boleh dibawa oleh filem dan kandungan kreatif terhadap agenda besar ini.
Bersempena SPLASH juga, mereka turut menganjurkan sebuah lagi acara iaitu Thailand Content Experience 2025 (TCX 2025) sebagai acara poket di lokasi yang sama.

Acara di Thailand Content Experience (TCX)
Ia berlangsung selama tiga hari -- dan bermula pada hari terakhir SPLASH sebagai kelangsungan kepada acara induk tersebut.
Tampil sebagai acara berbeza, namun keduanya saling mendukung ke arah rasional yang ingin dicapai.
Dalam acara ini, saya bertemu beberapa sahabat lama yang sama terlibat dalam industri perfileman. Teruja apabila acara ini dapat mempertemukan semula saya dengan sahabat-sahabat di Thailand.
Juga pasti tidak ketinggalan berkenalan dengan ramai lagi rakan-rakan baharu yang bergiat dalam industri yang sama.
Sejak tahun lalu, saya terlibat serba sedikit dalam industri di Thailand melalui pelbagai kapasiti -- termasuklah kerjasama bersama beberapa penerbit di negara gajah putih ini.
Kedua acara ini memberi ruang untuk saya membina jambatan persahabatan lebih erat dengan rakan-rakan di sini.
Meski Thailand dan Bangkok merupakan antara lokasi dalam ASEAN yang paling sering saya kunjungi, namun kunjungan ke Bangkok kali ini menjadi istimewa -- bukan sekadar kerana penganjuran acara yang menarik -- tetapi juga setiap orang yang saya temui memberikan makna yang tersendiri.
Bertemu sahabat lama dan baharu memberikan warna kepada kunjungan kali ini. Menyuburkan ikatan persahabatan -- sekali gus bergerak selangkah lagi ke arah aspirasi kita dalam perpaduan ASEAN.
Nota: Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, boleh dilayari di www.diplomasifilem.com
Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami