KUALA LUMPUR: Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah, Datuk Md Shuhaime Abd Rahman tampil memberi penjelasan bahawa kompaun RM500,000 ke atas Perbadanan Menteri Besar (MBI) kerana mempunyai kaitan mencuri unsur nadir bumi (REE) tahun lalu adalah dibuat mengikut perundangan dan bukan ditujukan khusus kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Menteri Besar.

Jelas Md Shuhaime, pendakwaan di bawah Seksyen 426 itu dibuat selepas mendapat kuasa untuk mengeluarkan kompaun daripada Ketua Pendakwaan Kedah itu tidak menulis nama Muhammad Sanusi untuk dikompaun.

"Tangkapan yang dibuat kepada kita (PTG) guna Seksyen 426 ialah kerana ia berlaku di luar kawasan tersebut dan pendakwaan kita mendapat kuasa untuk kompaun RM500,000 daripada Ketua Pendakwaan Kedah. Tetapi Ketua Pendakwaan pun tidak menulis sila dakwa Sanusi... tak ada. Bila tidak ada, jangan dok cerita kata ada," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mencabar Sanusi menjelaskan perkara itu dan menafikan sama ada beliau terbabit dalam kegiatan mencuri REE, Md Shuhaime berkata, perkara itu tidak benar sama sekali.

Katanya, Muhammad Sanusi yang mempunyai kuasa untuk mengecualikan kompaun RM500,000 tidak berbuat demikian sebaliknya bersetuju individu yang bertanggungjawab dikenakan tindakan berkenaan.

"Adakah orang mencuri setuju dia didenda? Ada orang mencuri lepas mencuri... tangkaplah saya. Kalau MB (Sanusi) hendak campur tangan masa itu boleh. Kuasa dia ada bawa ke mesyuarat exco dan dikecualikan tetapi dia tak pernah buat macam itu.

"Saya bukan mahu membela bos (Sanusi) tetapi tindakan saya bersuara adalah disebabkan PTG diheret sama dan secara tidak langsung saya terpanggil unuk menjawab," katanya.

Selain kompaun dikenakan kepada MBI Md Shuhaime mendedahkan ada individu ditahan yang kita dalam prosiding mahkamah.

"Tangkapan kedua pun kita lepaskan (serahkan) kepada agensi untuk mendakwa," katanya.