[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Kompleks beli-belah, pasar raya di Kuala Terengganu tutup sepenuhnya 1 Syawal

Sinar Harian 30/03/2025 | 01:45 MYT
Semua kompleks beli-belah, pasar raya dan pasar raya besar di kawasan MBKT diarah tutup sepenuhnya pada 1 Syawal. - Foto hiasan/Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Semua kompleks beli-belah, pasar raya dan pasar raya besar di kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) diarah tutup sepenuhnya pada 1 Syawal.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, premis makanan segera, kedai runcit 24 jam dan kedai serbaneka termasuk 7 Eleven, Trealeaf Mart, DIY, Eco Shop dan lain-lain pula diarah tutup bermula 12 tengah malam menjelang 1 Syawal sebelum ia dibenar beroperasi semula jam 1 tengah hari pada hari raya pertama.
"Penutupan premis perniagaan ini bertujuan menghormati Syawal dan membolehkan pekerja dan peniaga turut sama meraikan perayaan bersama keluarga masing-masing.
"Jadi kita memohon kerjasama semua pemilik premis perniagaan untuk memastikan sebarang aktiviti dan perniagaan tidak beroperasi pada hari dan waktu ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, pemilik premis dan pengusaha perniagaan beragama Islam yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan.
"Jika mereka gagal mematuhi arahan ini, tindakan undang-undang akan dikenakan berpandukan undang-undang yang diguna pakai oleh Majlis," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian turut melaporkan empat jenis perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi di Kelantan pada 1 Syawal sempena Hari Raya Aidifitri.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, arahan penutupan itu selaras dengan Akta Pelepasan 1951 yang membabitkan pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan restoran makanan segera.
Hilmi memberitahu, arahan berkenaan selaras dengan hak pekerja yang diberi keutamaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. - Sinar Harian
#kompleks beli-belah tutup #pasar raya tutup #Kuala Terengganu #Aidilfitri