BALING:Sebuah kompleks mahkamah baharu menempatkan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen yang dianggarkan bernilai RM30 juta akan dibina di Sik dekat sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pembinaan kompleks itu dijangka siap sepenuhnya awal 2022.

Katanya, pembinaan itu perlu dilaksanakan bagi menampung bilangan kes yang semakin meningkat di Sik selain daerah-daerah berdekatan seperti Baling, Pendang dan Padang Terap.

"Kita telah mengenal pasti kawasan tapak pembinaan yang berkeluasan tiga ekar (1.21 hektar) di Pekan Batu 5, Sik bagi tujuan berkenaan.

"Pembinaan kompleks mahkamah baharu itu juga akan menggantikan bangunan Mahkamah Sik lama yang dibina pada tahun 1950-an yang telah usang.

"Kita jangka ia akan mempercepatkan (urusan) kes... satu lagi untuk kemudahan rakyat kerana sekarang ini, rakyat yang ada di Baling, Sik, kalau ada kes Mahkamah Sesyen, terpaksa pergi ke Sungai Petani," katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Datuk Bandar dan Yang di-Pertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kedah di Pejabat Daerah Baling, pada Ahad.

Julai lalu, beliau dilaporkan berkata, kerajaan bercadang untuk membina empat buah kompleks baharu mahkamah termasuk Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret di beberapa negeri.

Ia melibatkan mahkamah di Sik; Bachok, Kelantan; Temerloh, Pahang dan Pengerang, Johor ekoran keadaan bangunan-bangunan itu ketika ini.

Jelas Takiyuddin, cadangan pembinaannya akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang bakal dibentang tahun depan.