MALAYSIA

Komunikasi ibu bapa dan anak kunci keluarga sejahtera, masyarakat berdisiplin - Nancy

Bernama 05/11/2025 | 21:15 MYT
Nancy berkata, tindakan ibu bapa yang terlalu mempertahankan anak walaupun jelas melakukan kesalahan boleh membawa kepada sikap tidak bertanggungjawab dalam masyarakat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Komunikasi berkesan antara ibu bapa dan anak-anak menjadi tunjang kepada pembentukan keluarga yang harmoni dan masyarakat berdisiplin, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Nancy berkata, setiap ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai teladan utama kerana sikap dan pertuturan mereka di rumah akan menjadi cerminan kepada tingkah laku anak-anak.

"Anak-anak, dengar dan lihat macam mana kita (ibu bapa), kita jadi contoh kepada mereka," katanya dalam program Podcast Kasih Lensa Keluarga terbitan Bernama TV bertajuk 'Kasih Keluarga, Bahagia Bersama' di sini, pada Rabu.

Pada masa sama, Nancy berkata, peranan ibu bapa bukan sekadar menyediakan keperluan asas tetapi merangkumi tanggungjawab untuk mendidik dan membentuk nilai moral serta disiplin dalam kalangan anak-anak.

Beliau berkata, walaupun kesibukan bekerja dan kemajuan teknologi membuatkan masa bersama keluarga semakin terhad, amalan mudah seperti makan bersama dapat memperkukuh hubungan dan membantu ibu bapa memahami perkembangan anak-anak.

Mengenai penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak, Nancy mengakui, ia antara cabaran besar masa kini dan menyeru ibu bapa tegas dalam menetapkan had serta memantau kandungan yang diakses anak-anak.

"Saya nampak orang bagi anak telefon bimbit sebab nak memudahkan diri tapi bila ambil balik telefon bimbit anak menangis. Dari awal perlu ada disiplin, biarkan anak menangis sebab kita hendak disiplinkan dia," katanya.

Beliau berkata, sesetengah kandungan digital memang bersifat mendidik namun pemantauan ibu bapa tetap penting bagi memastikan anak tidak terpengaruh dengan unsur negatif.

Selain itu, Nancy berkata, tindakan ibu bapa yang terlalu mempertahankan anak walaupun jelas melakukan kesalahan boleh membawa kepada sikap tidak bertanggungjawab dalam masyarakat.

Beliau turut menasihatkan agar ibu bapa supaya melibatkan anak dalam tugasan harian di rumah bagi menanam nilai tanggungjawab dan berdikari.

"Keluarga yang bahagia dan berdisiplin tidak terbentuk dalam sehari tetapi melalui kesungguhan ibu bapa berkomunikasi dengan baik dan menjadi contoh dalam setiap tindakan," katanya.

-- BERNAMA



#ibu bapa #anak-anak #institusi keluarga #pembentukan sahsiah #gaya komunikasi #Nancy Shukri