[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
NATIONAL

Komuniti berdekatan sempadan dicadangkan aktifkan KRT, SRS

Bernama 27/04/2025 | 21:15 MYT
Che Roslan berkata, kewujudan KRT dan SRS yang aktif terbukti mampu memainkan peranan yang berkesan dalam menjaga keselamatan dan keamanan komuniti.
TUMPAT: Komuniti berdekatan sempadan negara dicadangkan supaya mengaktifkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi membantu menjaga keselamatan termasuk membanteras gejala dadah.
Ketua Pengarah JPNIN Datuk Che Roslan Che Daud berkata perkara itu dicadangkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Ruji Ubi dalam Mesyuarat Majlis Penyelarasan Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (MPJKMD) pada Ahad.
"Ini kerana kewujudan KRT dan SRS yang aktif terbukti mampu memainkan peranan yang berkesan dalam menjaga keselamatan dan keamanan komuniti," katanya.
Che Roslan berkata terdapat dua KRT iaitu KRT Sungai Kantan Kajang, Selangor dan KRT Chenulang, Kuala Krai, Kelantan telah menjalankan rondaan dan kawalan setiap hari untuk memastikan keselamatan kejiranan dalam kawasan kediaman.
"Keberkesanan SRS akan dipertingkatkan lagi melalui aplikasi MySRS yang membolehkan jabatan memantau pelaksanaan SRS secara masa sebenar," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan mempergiatkan lagi pelaksanaan Kempen "1 Keluarga 1 Anggota SRS" di semua peringkat khususnya di peringkat KRT bagi membantu kerajaan menangani gejala sosial dan isu-isu keselamatan dalam kawasan kejiranan sekali gus meningkatkan rasa selamat dalam kalangan komuniti.
-- BERNAMA
#komuniti #Skim Rondaan Sukarela #Kawasan Rukun Tetangga #Dadah