Skip to main content

Malaysia

Komuniti MADANI perlu jadi jambatan rakyat, kerajaan - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 6 Sept - Isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (lima, kiri) bergambar bersama Ketua Komuniti Bandar Tun Razak pada Majlis Penyerahan Watikah Komuniti MADANI Parlimen Bandar Tun Razak 2026/2027, hari ini. Turut sama Pengerusi Komuniti MADANI Parlimen Bandar Tun Razak Jonathan Vela (tiga, kanan). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dr Wan Azizah (lima, kiri) bergambar bersama Ketua Komuniti Bandar Tun Razak pada Majlis Penyerahan Watikah Komuniti MADANI Parlimen Bandar Tun Razak 2026/2027, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Komuniti MADANI perlu memainkan peranan lebih besar sebagai jambatan dua hala yang bukan sahaja menyampaikan maklumat kerajaan, malah peka mendengar permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.

Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata peranan itu penting bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan sampai kepada sasaran, selain menyalurkan suara masyarakat kepada pihak berkuasa secara berkesan.

“Komuniti MADANI berperanan sebagai jambatan dua hala dalam membawa maklumat kerajaan kepada rakyat dan menyampaikan suara rakyat kembali kepada kerajaan.

“Jangan sekadar menjadi penyampai maklumat tetapi jadilah pendengar yang peka terhadap masalah warga emas, keluarga dalam kesusahan serta keperluan anak muda,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Komuniti MADANI Parlimen Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Normaizatulakmal Tujad serta Pengerusi Komuniti MADANI Parlimen Bandar Tun Razak Jonathan Vela.

Dr Wan Azizah berkata sebagai mata dan telinga kerajaan, ahli komuniti perlu proaktif mengambil tindakan susulan dengan menyalurkan sebarang isu dihadapi masyarakat kepada agensi atau pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata walaupun Komuniti MADANI mungkin tidak mampu menyelesaikan semua permasalahan yang dibangkitkan, jaringan itu perlu memastikan setiap isu sampai kepada pihak yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata Komuniti MADANI juga perlu menjadi benteng utama dalam mengekang penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Dalam era media sosial, maklumat palsu bergerak pantas dan boleh menjejaskan keharmonian. Komuniti MADANI mesti menjadi benteng utama menyekat fitnah dengan berpegang kepada prinsip ‘semak sebelum sebar’. Kita boleh berbeza pandangan tetapi kekalkan sikap saling menghormati,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kekuatan sebenar sesebuah komuniti terletak pada hubungan antara jiran dan kesediaan masyarakat pelbagai kaum serta latar belakang untuk saling membantu dan bekerjasama.

Sehubungan dengan itu, Dr Wan Azizah berkata penerima watikah perlu memegang amanah dan integriti, proaktif mendekati masyarakat serta menjadi pendengar yang baik terhadap luahan rakyat.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Duta Komuniti MADANI kepada Azizi Anas dan S. Yugan, selain watikah pelantikan kepada wakil daripada enam subzon Parlimen Bandar Tun Razak.

Komuniti MADANI adalah penjenamaan semula daripada 1,878 Komuniti Keluarga Malaysia susulan pelancaran gagasan Malaysia MADANI pada 19 Jan 2023.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, sebanyak 72 Komuniti MADANI telah diwujudkan, dengan kekuatan jaringan itu bergantung kepada peranan sukarelawan yang meluangkan masa dan tenaga untuk berkhidmat kepada masyarakat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement