KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menghadapi tekanan untuk terus mempertahankan subsidi RON95 daripada menghadapi kenaikan.
Bagaimanapun menurutnya, kerajaan akan terlebih dahulu mengambil kira kos sara hidup rakyat sebelum membuat sebarang perubahan kepada bantuan fiskal itu.
Advertisement
"Daripada segi tekanan kewangan itu sedikit membebankan kerajaan, tetapi saya ingat penting juga supaya kita mengurangkan beban kepada rakyat.
"Jadi saya ingin minta kerjasama semua supaya berjimat-cermat menggunakan tenaga, setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan ekonomi negara," kata Anwar selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah Kampung Cheras Baru, Cheras hari ini.
Sebelum ini, Anwar memberitahu kerajaan menanggung subsidi tambahan lebih RM2 bilion sebulan berikutan ketegangan geopolitik di rantau Asia Barat.
Tambah Anwar, peluasan subsidi diesel kepada sektor terkesan masih dalam fasa kajian oleh kementerian terlibat.
"Subsidi diesel akan diteruskan, ada beberapa kalangan yang merasakan kenaikan harga diesel itu membebankan. Kalau melibatkan soal peladang, petani, nelayan itu mereka telah dibantu.
"Manakala kalau bidang lain, kita dengan beberapa kementerian sedang mengkaji untuk mengurangkan tekanan kepada mereka," jelas Anwar.