Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Malaysia Airlines gantung penerbangan ke Doha, Jeddah dan Madinah

MAS, malaysia airlines, sepang
Malaysia Airlines menggantung penerbangan ke Doha, Jeddah dan Madinah selepas penutupan ruang udara di Asia Barat berkuat kuasa sehingga 4 Mac 2026. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines pada Ahad mengumumkan penggantungan sementara semua penerbangan ke dan dari Doha (DOH), Jeddah (JED) dan Madinah (MED) sehingga 4 Mac 2026, berikutan penutupan ruang udara di beberapa wilayah Asia Barat selepas ketegangan keselamatan serantau terus meningkat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Malaysia Aviation Group (MAG), langkah itu diambil susulan pembatalan awal yang bermula pada 28 Februari dan dilanjutkan selepas penilaian terhadap risiko keselamatan terkini.

Advertisement

Menurut syarikat penerbangan itu, penerbangan ke destinasi lain termasuk London Heathrow (LHR) dan Paris Charles de Gaulle (CDG) masih diteruskan, namun menggunakan laluan alternatif yang mengelakkan zon konflik.

Antara penerbangan yang terjejas melibatkan beberapa siri kod MH150, MH151, MH156, MH157, MH160, MH161, MH164, MH165, serta beberapa penerbangan umrah dan transit yang turut melalui Doha, Jeddah dan Madinah.

Malaysia Airlines memaklumkan bahawa penumpang terjejas sedang dihubungi dan akan dibantu untuk penjadualan semula atau mendapatkan perjalanan alternatif. Mereka turut dinasihatkan mengemas kini maklumat hubungan melalui fungsi My Booking untuk menerima makluman segera.

“Kami terus memantau perkembangan semasa dan akan mengambil semua langkah perlu bagi memastikan operasi yang selamat dan boleh diyakini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Airlines menegaskan bahawa keselamatan penumpang dan kru merupakan keutamaan tertinggi syarikat.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Malaysia Airlines Global Contact Centre di 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar negara), atau melalui Live Chat di laman web rasmi.

Must Watch Video