KLANG: Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersiap siaga untuk melaksanakan pemindahan pelajar tajaannya di luar negara sekiranya keadaan memerlukan, susulan perkembangan konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan keselamatan pelajar.
Pengerusinya Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya sentiasa memantau rapat situasi semasa dan akan mengambil tindakan segera termasuk pelaksanaan pelan pengungsian yang telah disediakan dengan kerjasama Wisma Putra.
Advertisement
“Kalau ada apa-apa yang boleh mencetuskan risiko kepada pelajar, kita akan ambil tindakan sewajarnya mengikut saranan Wisma Putra,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Pendidikan Antarabangsa MARA (MIEC) 2026 di sini hari ini.
Asyraf Wajdi berkata data terkini menunjukkan kira-kira 400 pelajar tajaan MARA masih berada di luar negara, dengan sebahagian besar di Jordan serta Mesir, dan mereka dipantau rapi oleh pegawai MARA di negara terbabit.
Beliau berkata semua pelajar tajaan MARA di luar negara juga diwajibkan pulang ke tanah air sekiranya diarahkan, selaras dengan syarat penajaan yang meletakkan aspek keselamatan sebagai keutamaan.
“Kalau kita ada arahan, pelajar-pelajar MARA, saya tidak rasa mereka ingkar kerana mereka ini semua adalah anak-anak MARA yang sentiasa akur kepada apa sahaja yang ditetapkan oleh pengurusan.
“Setakat ini, semua pelajar-pelajar MARA terikat kepada peraturan dan juga syarat-syarat sedia ada dan semua arahan daripada MARA mereka wajib patuhi,” katanya.
Terdahulu, Malaysia menyambut baik perjanjian gencatan senjata selama dua minggu yang dicapai antara Amerika Syarikat AS) dan Iran.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, perkembangan penting itu menjadi langkah utama ke arah mengurangkan ketegangan dan memulihkan keamanan serta kestabilan yang amat diperlukan di rantau Asia Barat.
Presiden AS Donald Trump pada Selasa mengumumkan penggantungan dua minggu operasi ketenteraan terhadap Iran susulan pengantaraan oleh Pakistan.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pula berkata Majlis Keselamatan Negara Tertinggi mengisytiharkan bahawa Tehran akan menghentikan operasi pertahanan jika serangan ke atas negara itu ditamatkan.
Menurut laporan, rundingan antara pihak terbabit dijangka berlangsung di Islamabad pada Jumaat.
-- BERNAMA