Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Pelabuhan Malaysia tidak terjejas ketara, catat pertumbuhan positif - Anthony Loke

Kuala Lumpur , 8 Julai 2026.Menteri Pengangkutan , Loke Siew Fook melakukan gimik perasmian berikutan Majlis Perasmian ASEAN Ports and Logistics 2026 Hotel Sofitel Kuala Lumpur Damansara.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Anthony berkata, meskipun konflik di Asia Barat telah mengganggu perdagangan dan operasi pelabuhan di banyak negara, pelabuhan utama Malaysia seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) terus merekodkan peningkatan jumlah kargo. - Astro AWANI/ Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Krisis geopolitik di Asia Barat termasuk ketegangan di Selat Hormuz tidak memberi kesan ketara kepada operasi pelabuhan di Malaysia, malah negara mencatat pertumbuhan positif dalam sektor itu pada suku pertama tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, meskipun konflik di Asia Barat telah mengganggu perdagangan dan operasi pelabuhan di banyak negara, pelabuhan utama Malaysia seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) terus merekodkan peningkatan jumlah kargo.

"Apa yang berlaku di Asia Barat sememangnya menjejaskan perdagangan global dan operasi perkapalan. Banyak negara dan pelabuhan mengalami gangguan.

"Namun dalam konteks pelabuhan Malaysia, kita bernasib baik kerana mencatat pertumbuhan positif pada suku pertama tahun ini. Operasi pelabuhan Malaysia secara keseluruhannya tidak begitu terjejas akibat krisis di Asia Barat. Malah, jumlah kendalian di Pelabuhan Klang dan PTP mencatat pertumbuhan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Asean Ports and Logistics 2026 di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai sejauh mana krisis di Selat Hormuz menjejaskan pelabuhan di ASEAN dan langkah yang diambil negara-negara anggota untuk menangani situasi itu.

Loke berkata ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat bukan sahaja membawa risiko kepada industri maritim global, malah turut membuka peluang kepada pelabuhan di ASEAN, khususnya Malaysia, yang dilihat sebagai destinasi selamat bagi aktiviti perkapalan dan pemindahan kapal ke kapal (transshipment).

"Ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat, walaupun merupakan satu ancaman, turut menyediakan peluang kepada pelabuhan di ASEAN, khususnya di Malaysia, kerana kita dianggap sebagai 'safe haven'.

"Justeru, banyak aktiviti pemindahan kargo berlaku di pelabuhan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata faktor keselamatan dan kestabilan rantau ini menjadi kelebihan utama yang perlu dipelihara oleh semua negara ASEAN.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa negara-negara ASEAN perlu bekerjasama untuk memastikan keselamatan serta prinsip berkecuali di Selat Melaka terus dikekalkan bagi menjamin kelancaran perdagangan dan pelayaran antarabangsa.

"Perkara paling penting ialah rantau ini kekal selamat dan terjamin. Sebab itulah semua negara ASEAN mesti bekerjasama untuk memastikan keselamatan dan berkecualinya Selat Melaka.

"Ini penting bagi memastikan Selat Melaka kekal bebas, selamat dan kita terus mempertahankan prinsip kebebasan pelayaran. Selat Melaka perlu bebas daripada sebarang konflik. Itulah komitmen utama kita," katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement