MALAYSIA
Konflik Asia Barat: Situasi di Qom terkawal, tiada rancangan pindah - Pelajar Malaysia
Selain keadaan talian internet dan telefon yang sedikit terganggu, situasi masih aman, terutama bagi mereka yang menetap di Qom. - Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Situasi semasa di Qom, Iran masih terkawal walaupun negara itu diserang oleh tentera rejim Israel.
Perkara itu disahkan seorang pelajar Malaysia, Syed Muhammad Hasan Syed Ahmad Firdaus Jamalullail, 22, ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Dalam perbualan itu, Syed Muhammad Hasan memaklumkan, selain daripada keadaan telekomunikasi seperti talian internet dan telefon yang sedikit terganggu, situasi masih aman, terutama bagi mereka yang menetap di Qom.
Dia juga memberitahu belum dihubungi pihak kedutaan mengenai rancangan evakuasi, namun mengakui tidak mempunyai perancangan untuk berpindah.
"Situasi di sini (Qom) masih terkawal. Di Tehran, seperti biasa, masih diserang pagi dan malam.
"Buat masa ini, saya ambil keputusan untuk kekal di sini buat sementara waktu kerana kami di sini aman (baik) saja.
"Tentang (pelajar) yang lain, saya tidak pasti," katanya.
Jurucakap kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan, rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dipindahkan keluar dengan bantuan kerajaan seawal Jumaat ini.
Ia susulan nasihat daripada Kementerian Luar (KLN) agar rakyat Malaysia yang menetap di Iran meninggalkan negara berkenaan serta-merta melalui apa-apa kaedah selamat dan tersedia.