[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Konflik India-Pakistan: Malaysia sedia main peranan redakan ketegangan - PM

Amirul Aiman 05/05/2025 | 01:55 MYT
Anwar menerima panggilan telefon daripada Shehbaz pada Ahad, memaklumkan mengenai penangguhan lawatan rasmi beliau ke Malaysia susulan insiden serangan di Kashmir baru-baru ini. - Facebook Anwar
KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan membantu meredakan ketegangan antara India dan Pakistan susulan serangan di Kashmir yang mengorbankan puluhan nyawa minggu lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sebagai negara yang mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua pihak, sedia menjadi pengantara, jika perlu, demi kestabilan dan keamanan serantau.
"Saya turut menyatakan kesediaan Malaysia memainkan peranan ke arah meredakan ketegangan sekiranya diperlukan.
“Hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan demi keamanan dan kestabilan serantau,” katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Katanya, semalam beliau menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, yang memaklumkan mengenai penangguhan lawatan rasmi beliau ke Malaysia yang dijadual Jumaat ini.
“Saya memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan mendoakan agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan itu,” kata Anwar.
Menurut beliau, Shehbaz turut menyuarakan penghargaan terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara serta menyatakan hasrat untuk mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman yang kini dalam rundingan.
“Insya-Allah, apabila keadaan mengizinkan, kita akan menyambut PM Shehbaz di Malaysia dalam suasana aman dan tenteram,” kata Anwar.
Serangan pada 22 April lalu di Pahalgam, Jammu dan Kashmir, menyasarkan pelancong Hindu, mengorbankan 26 orang dan mencederakan lebih 20 yang lain.
Kumpulan militan The Resistance Front yang dikaitkan dengan Lashkar-e-Taiba mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut, sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik antara New Delhi dan Islamabad.
#Anwar Ibrahim #Shehbaz Sharif #konflik India-Pakistan #serangan di Kashmir