KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan pelajar-pelajar Malaysia di sekitar Asia Barat berada dalam keadaan selamat susulan pergolakan yang tercetus antara Iran dan Israel.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata kementerian telah mengambil beberapa tindakan segera bagi memastikan keadaan pelajar-pelajar terbabit sentiasa dalam keadaan yang terkawal.

Berdasarkan rekod, jelas beliau setakat ini seramai 1,872 pelajar Malaysia berada di Jordan, Syria (37), Iran (8), manakala tiada pelajar Malaysia di Lebanon dan Iraq.

"Mereka membuat kursus-kursus termasuklah kursus bahasa Arab, Pengajian Islam, Sains Kesihatan dan Perbankan Islam. Ini melibatkan pelbagai universiti yang berada di sana dan kita sentiasa memantau keadaan mereka dan sehingga ke hari ini, kita tidak mempunyai sebarang maklumat yang mengatakan mereka ini berada dalam keadaan yang memerlukan bantuan.

"Walau bagaimanapun, kita sentiasa memantau melalui Kedutaan Besar Malaysia dan kita perlu melakukan ini bagi memastikan supaya keadaan rakyat (Malaysia), di mana sahaja mereka berada apabila berlakunya krisis seperti ini, langkah-langkah perlu dan berjaga-jaga hendaklah dilakukan dengan kadar yang segera," katanya dalam satu rakaman video pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zambry berkata para pelajar Malaysia boleh berhubung dengan pejabat Education Malaysia (EM) di Jordan bagi mendapatkan maklumat lanjut dan memaklumkan perkembangan terkini mengenai keberadaan mereka.

"Jadi saya mengharapkan sekali lagi kepada pelajar-pelajar kita yang berada di sana supaya sentiasa memaklumkan kepada EM Malaysia melalui pejabat Kedutaan Malaysia yang ada di Jordan khususnya," tambah beliau.

Dalam masa sama, Zambry berkata kementerian akan sentiasa memberikan maklum balas terkini kepada ibu bapa pelajar dan boleh juga berhubung dengan pejabat EM atau KPT.

Serangan Iran ke atas Israel adalah sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria, pada 1 April lalu yang mengorbankan tujuh Pengawal Revolusi termasuk dua jeneral.