IPOH: Dunia tidak boleh hanya cukup dengan mengutuk serangan tentera Zionis terhadap bumi Palestin, sebaliknya mesti menguatkuasakan undang-undang bahawa penerokaan Israel tidak sah berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebagai sebahagian inisiatif masyarakat sivil global, adalah diharapkan kumpulan masyarakat sivil Malaysia dapat membantu mengembangkan lagi naratif bahawa isu sebenar konflik tersebut adalah berkenaan pencurian tanah menerusi paksaan yang kejam.

Menurut beliau, lebih banyak tekanan perlu diberikan kepada negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menguatkuasakan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi yang dibuat tidak terkira banyaknya.

“Sehinggalah ke saat itu, pencurian tanah dan harta benda Palestin akan berlanjutan sehingga tidak ada lagi tanah untuk dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata, peningkatan keganasan yang dilakukan Israel sejak kebelakangan ini adalah berkaitan dengan isu tanah.

“Agama dan politik hanyalah suatu pelantar bagi mengaburkan alasan sebenar konflik abadi ini – iaitu pencurian tanah dan penolakan hak asasi manusia terhadap milikan tanah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, awal bulan ini, Mahkamah Agung Israel dijangkakan untuk membuat keputusan sama ada menyokong pengusiran keluarga Palestin dari kawasan Sheikh Jarrah, bagi memihak kepada peneroka Israel.

Katanya, orang-orang Palestin telah mendiami Sheikh Jarrah sejak mereka ditempatkan semula di situ pada tahun 1950 oleh Jordan semasa penciptaan Israel pada tahun 1948.

Ahmad Faizal berkata, walaupun mahkamah-mahkamah di Israel mengakui dan memperkasakan status undang-undang peneroka Israel, harus diingat bahawa PBB mempunyai banyak resolusi yang mengecam penerokaan Israel sebagai tidak sah dan melanggar Konvensyen Geneva Keempat.

“Terdapat naratif kuat yang disebarkan oleh media global bahawa konflik ini pada dasarnya adalah perang agama, terutamanya peningkatan keganasan terbaru yang dimulakan pada bulan Ramadan.

“Namun kebenarannya adalah, agama merupakan penyamaran mudah bagi suatu hakikat pencurian tanah oleh sang pencuri melalui kekuatan penindasan,” ujarnya.

Lebih memburukkan keadaan, kata Ahmad Faizal, terdapat keganasan melampau dilakukan oleh pertubuhan Zionis terhadap rakyat Palestin sehingga menyebabkan banyak kematian, termasuklah kanak-kanak.

“Untuk memahami senario yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin, analogi mudah boleh dibuat dengan membayangkan pada suatu hari, sebuah pasukan penjajah masuk ke rumah kita dan mengusir kita dengan menggunakan paksaan semata-mata.

BACA: Palestin terus dizalimi, Majlis Keselamatan PBB masih membisu - PM

BACA: Konflik Palestin-Israel: Malaysia sokong Penyelesaian Dua Negara ikut sempadan sebelum 1967 - PM

“Penjajah ini mula hidup di kediaman yang pernah menjadi rumah kita dahulu dan ketika kita berjuang untuk merebut kembali harta benda kita, kita diserang dan dibunuh dengan kejam bagi tuntutan yang dibuat terhadap apa yang dimiliki kita. Selama ini dunia hanya memerhatikan,” katanya.