BANGKOK: Malaysia bersedia untuk menjalankan peranan lebih proaktif dalam proses rundingan damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun di wilayah selatan di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menentang sebarang bentuk keganasan sebagai cara untuk menyelesaikan konflik di wilayah berkenaan.

"Kebimbangan mengenai inisiatif keamanan, dan usaha di Selatan seperti yang saya katakan semalam, kedudukan saya adalah tidak berkompromi dari segi toleransi sifar terhadap keganasan di Selatan.

"Oleh itu kami memerlukan usaha yang lebih besar daripada rakan-rakan kami, komuniti Islam di Selatan dan pertubuhan di sini, terutamanya tentera untuk cuba menyelesaikan isu ini secara baik.

"Ini adalah isu dalaman yang menjejaskan Thailand tetapi sebagai rakan dan ahli keluarga, kami telah diminta untuk mencuba dan memudahkan proses itu dan kami bersedia untuk melakukannya dengan cara yang lebih proaktif," katanya ketika memberi ucaptama dalam Pertemuan Perniagaan dengan Pemimpin Industri - The Future of ASEAN di sini, hari ini

Malah perdana menteri juga menegaskan, prinsip kesaksamaan, penyatuan dan keterlibatan adalah pencetus kepada jalan perdamaian, yang turut menjadi amalan dalam falsafah politik beliau di Malaysia.

"Kita perlu memujuk rakan-rakan kita di Selatan, sebahagian daripada mereka saya kenal secara peribadi, saya telah berinteraksi dengan mereka, mesti dipujuk untuk memahami bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan negara Thai, mereka boleh mengekalkan hak mereka, budaya mereka, bahasa agama.

"Seperti yang saya amalkan dalam falsafah politik saya, Malaysia adalah negara berbilang kaum, berbilang agama. Dan saya ingin membentangkan naratif baharu ini kepada Malaysia bahawa setiap rakyat mesti diiktiraf, hak mereka, kepercayaan mereka, pada pendapat saya, mereka adalah sebahagian dari negara Malaysia yang hebat," katanya lagi.

Malaysia merupakan fasilitator bagi proses dialog damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun di Selatan Thailand.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai ketua fasilitator Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Jan 2023.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru kebijaksanaan pemimpin ASEAN dalam mendepani isu konflik di Myanmar, yang sekian lama menjejaskan negara-negara jiran.

"Kami di Malaysia terpaksa menghadapi masalah besar iaitu hampir 200,000 pelarian. Kebanyakan mereka adalah etnik Rohingya, sebahagian daripada kumpulan etnik lain. Sudah tentu memerlukan keterlibatan, kita sudah terlibat sejak 40 tahun yang lalu. Tetapi tidak banyak yang negara lain boleh lakukan.

"Saya menyeru kepada semua pemimpin, kita perlu bekerja lebih, kita tidak mahu orang luar campur tangan, kita tidak mahu Amerika Syarikat atau Eropah memberitahu kita apa yang perlu dilakukan. Tetapi kita perlu melakukan sesuatu.

"Kita harus berani untuk menyelesaikannya. Ini hal ehwal dalaman Myanmar, betul. Saya tidak fikir kita harus masuk campur, bertempur dengan mereka tetapi ia menjejaskan kita, ia menjejaskan Thailand, sejumlah besar pelarian di sini, menjejaskan Bangladesh yang bergelut untuk meningkatkan ekonomi dan Malaysia yang mempunyai bilangan pelarian terbesar dari Myanmar," ujarnya lagi.