[TERKINI] Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja Capai Gencatan Senjata Serta-Merta – Baca Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Konflik sempadan: Mesyuarat Khas Thai-Kemboja bermula, dihoskan PM Anwar

Hasimi Muhamad 28/07/2025 | 07:35 MYT
PM Anwar dalam mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja bagi meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara di Putrajaya, pada Isnin. - Foto Mohd Rasfan/melalui REUTERS
PUTRAJAYA: Mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja bagi meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara bermula jam 3 petang hari ini di Putrajaya.

Mesyuarat julung kali itu disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi.

Delegasi Thailand diketuai oleh Pemangku Perdana Menteri merangkap Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai, manakala Kemboja diwakili oleh Perdana Menterinya, Hun Manet.

Turut hadir dalam mesyurat khas berkenaan ialah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Duta Besar Amerika Syarikat (AS), Edgard D. Kagan.

Kedua-dua mereka bertindak sebagai fasilitator bersama.

Terdahulu, delegasi terlibat tiba kira-kira 2.50 petang di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Semalam media melaporkan, Anwar berkata pertemuan tersebut antaranya akan membincangkan gencatan senjata berhubung konflik antara kedua-dua negara.

Jurucakap Kerajaan Thailand Jirayu Huangsap pula dilapor berkata, tujuan perbincangan ini adalah untuk mendengar cadangan-cadangan yang boleh membawa kepada keputusan yang berasaskan maklumat serta akhirnya mengembalikan keamanan.

Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei lalu susulan insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.








#Konflik Thai-Kemboja #Anwar Ibrahim #Hun Manet #Phumtham Wechayachai