MALAYSIA

Konflik Thai-Kemboja: Malaysia, ASEAN sedia hantar pasukan pemantau di sempadan - PM

Hasimi Muhamad 05/08/2025 | 03:05 MYT
Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar selaku Pengerusi ASEAN, hos dan saksi. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara anggota ASEAN menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan pemantau ke kawasan sempadan Thailand-Kemboja sekiranya menerima permintaan rasmi daripada kedua-dua negara terbabit.


Ringkasan AI
  • Malaysia sedia hantar pasukan pemantau ke sempadan Thailand-Kemboja: Tindakan bergantung kepada permintaan rasmi kedua-dua negara dan keputusan Mesyuarat GBC yang berakhir 7 Ogos.
  • Keadaan sempadan terkawal, dipantau melalui satelit dan kerjasama ASEAN: Atase Pertahanan Malaysia menyelaras pemantauan bersama wakil Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur.
  • Malaysia komited bantu proses damai serantau: Anwar rakam penghargaan kepada ATM dan harap mekanisme keselamatan dimuktamadkan demi kestabilan rantau ASEAN.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan semasa di sempadan berkenaan masih terkawal dan dipantau secara rapi melalui penggunaan satelit, selain diselaraskan oleh Atase Pertahanan Malaysia dengan kerjasama negara-negara ASEAN.

Menurut Anwar, sebarang keputusan lanjut, termasuk keperluan kehadiran fizikal pasukan pemantau atau penyertaan tetap dari ASEAN, akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Thailand dan Kemboja yang dijadual berakhir pada 7 Ogos ini.

"Setakat ini kita telah beritahu bahawa Malaysia bersedia menghantar dan dalam rundingan saya dengan Ketua-Ketua ASEAN, semuanya sepakat jika diminta oleh kedua-dua negara.

"Sekarang ini keadaan terkawal dan satelit dapat memantau. Kemudian, Atase Pertahanan hadir diselaraskan oleh Malaysia dan dihadiri oleh semua Atase Pertahanan Thailand.

"Kita tunjukan kesediaan kita (untuk menghantar pasukan pemantau). Oleh itu, kita tunggu keputusan pada 7 Ogos ini," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambah Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) tentang kesediaan Malaysia untuk menghantar pasukan pemantau di sempadan Thailand-Kemboja susulan ketegangan antara dua negara berkenaan.

Anwar (PH-Tambun) memaklumkan ketua-ketua tentera dan pegawai tertinggi ketenteraan dari Thailand dan Kemboja juga telah berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri pertemuan yang diselaraskan oleh Kerajaan Malaysia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia atas usaha menyelaras perbincangan penting tersebut.

Tegas Perdana Menteri, Malaysia komited membantu proses damai antara kedua-dua negara dan berharap mesyuarat GBC dapat memuktamadkan mekanisme terbaik bagi memastikan keselamatan dan kestabilan serantau terus terpelihara.

Pada 28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar selaku Pengerusi ASEAN, hos dan saksi.








#Anwar Ibrahim #ASEAN #konflik Thailand-Kemboja