MALAYSIA

Konflik Thailand-Kemboja: Mesyuarat esok wadah sesuai capai penyelesaian adil, berkekalan - PM Anwar

Afiezy Azaman 21/12/2025 | 03:10 MYT
Anwar berkata, Kemboja dan Thailand bersetuju untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Disember ini. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Kemboja dan Thailand bagi bertukar pandangan serta membincangkan hala tuju terbaik ke arah meredakan ketegangan yang timbul antara kedua-dua negara.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbincang dengan Perdana Menteri Kemboja dan Thailand untuk meredakan ketegangan di antara kedua negara.
  • Anwar menekankan pentingnya dialog, kebijaksanaan, dan saling menghormati dalam menyelesaikan ketegangan demi keamanan rantau.
  • Mesyuarat Menteri Luar ASEAN dijangka dapat memberi peluang kepada Kemboja dan Thailand untuk menyelesaikan perbezaan secara aman dan adil.


Beliau menegaskan kepentingan untuk Kemboja dan Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan dan saling menghormati demi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau ini.

"Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang akan berlangsung esok merupakan wadah sesuai dan konstruktif untuk membolehkan kedua-dua negara berunding secara terbuka, selesaikan perbezaan secara aman, serta mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Anwar sebelum ini berkata, Kemboja dan Thailand bersetuju untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Disember ini.

Beliau berkata, inisiatif yang diusahakan Malaysia dan ASEAN itu bertujuan mengendurkan ketegangan serta mengelakkan sebarang peningkatan konflik di sepanjang sempadan Thailand dan Kemboja.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa Thailand melaporkan 21 tentera dan seorang orang awam terkorban, manakala Kementerian Dalam Negeri Kemboja mengesahkan 18 kematian dalam kalangan penduduk awam serta 78 lagi mengalami kecederaan.

Pertempuran terus meletus meskipun terdapat cubaan damai sebelum ini, termasuk perjanjian yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada Oktober lalu dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun ia ditangguhkan susulan insiden letupan periuk api.

Konflik sempadan antara kedua-dua negara jiran itu merupakan isu lama yang sering mencetuskan keganasan, termasuk pertempuran berdarah pada Julai lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 48 nyawa.

Ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu kembali menjadi tumpuan selepas beberapa insiden bersenjata di sempadan yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda sebelum ini, sekali gus memaksa campur tangan badan serantau.








#Anwar Ibrahim #meredakan ketegangan #Thailand #Kemboja