MALAYSIA

Konflik Thailand-Kemboja: Peranan Malaysia dalam usaha gencatan senjata perlu dihargai

Farhan Hakimi 29/07/2025 | 12:22 MYT
Keberagaman di rantau ini perlu menjadi kelebihan dan bukannya alat untuk berkonflik antara satu sama lain. - Reuters
JAKARTA: Keupayaan Malaysia selaku pengerusi ASEAN dalam merealisasikan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja dalam konflik sempadan perlu dihargai.

Menurut Rektor Universiti Islam Antarabangsa Indonesia (UIII), Prof. Jamhari Maaruf, ini kerana konflik yang tercetus berpotensi untuk merebak ke negara anggota lain.

Tambahnya, keberagaman di rantau ini perlu menjadi kelebihan dan bukannya alat untuk berkonflik antara satu sama lain.

Pertama sekali, negara-negara ASEAN terdiri daripada pelbagai etnik, dan dari segi agama pula, kepelbagaian itu juga sangat ketara.

“Malah, boleh dikatakan bahawa semua agama utama di dunia ini wujud di rantau ASEAN.

“Berdasarkan sejarah, kita dapat melihat bahawa agama berpotensi menjadi alat penyatuan, namun pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa agama juga boleh mencetuskan konflik.

“Oleh itu, saya berpandangan bahawa negara-negara ASEAN perlu peka terhadap realiti dan potensi ini,” katanya.



Dalam pada itu, Profesor Fakulti Sains Sosial Universiti Islam Antarabangsa Indonesia (UIII), Prof. Dr. Farish Noor berpandangan, keberhasilan persetujuan untuk gencatan senjata membuktikan bahawa prinsip kesentralan ASEAN masih relevan.


“Fakta bahawa kedua-dua Thailand dan Kemboja dapat diyakinkan oleh Malaysia untuk duduk di meja rundingan di sebuah negara ASEAN menunjukkan bahawa prinsip "kesentralan ASEAN" masih sangat relevan.

“Saya rasa ini merupakan satu pencapaian bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga untuk ASEAN secara keseluruhan.

“Bagi saya, adalah amat mengecewakan sekiranya rundingan itu diadakan di luar ASEAN, contohnya di Washington, Beijing, atau Moscow kerana ia seolah-olah menggambarkan bahawa negara-negara ASEAN sendiri tidak mempunyai keyakinan terhadap mekanisme yang telah dibangunkan oleh ASEAN,” ujar beliau.

Kedua-dua mereka ditemui Astro AWANI pada "The International Conference on Human Fraternity (ICHF) 2025", di Jakarta hari ini.

Semalam, Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat mulai tengah malam ini bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.

Kejayaan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi bagi Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Mesyuarat khas tersebut dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.



#konflik sempadan #Kemboja #Thailand #Malaysia #pengantara #gencatan senjata #ASEAN #solidariti