MALAYSIA

Konflik Thailand-Kemboja: PN ucap tahniah kepada PM Anwar

Bernama 04/08/2025 | 07:46 MYT
Pada 28 Julai lepas, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat, susulan mesyuarat khas diadakan di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) hari ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peranan penting beliau dalam membantu meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja.


Ringkasan AI
  • PN puji peranan Anwar dalam diplomasi serantau: PN mengucapkan tahniah atas kejayaan Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat gencatan senjata Thailand-Kemboja, menyifatkannya sebagai detik bersejarah yang mengangkat imej Malaysia sebagai kuasa pengimbang di Asia Tenggara.
  • Seruan konsisten terhadap keamanan sejagat: Hamzah Zainudin menyeru Malaysia agar terus bersuara tegas menentang kezaliman dan penindasan global, termasuk konflik di Gaza, Eropah Timur dan Asia Barat, demi kepentingan strategik negara.
  • PN sokong perdagangan bermaruah: Mengenai tarif AS yang dikurangkan kepada 19%, PN menegaskan Malaysia mesti berdagang dengan mempertahankan kedaulatan dan kepentingan nasional.


Timbalan Pengerusi PN yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata PN menyambut baik apa sahaja keterlibatan Malaysia dalam usaha memperkukuh kestabilan rantau ini.

"Apa pun peranan dimainkan Yang Berhormat Tambun (Anwar) walau ada yang menyifatkan sebagai tuan rumah, ia tetap satu peranan yang akan tersemat dalam lipatan sejarah. Saya mengucapkan tahniah dan syabas.

"Apa yang penting Malaysia akan terus kekal dihormati sebagai sebuah negara berdaulat dan terus dipandang tinggi sebagai kuasa pengimbang kompetitif dalam rantau Asia Tenggara," katanya pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 28 Julai lepas, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuat kuasa serta-merta, susulan mesyuarat khas diadakan di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar.

Pada mesyuarat berkenaan, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, turut mencapai persetujuan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata itu.

Sehubungan dengan itu, Hamzah menyeru supaya Malaysia konsisten memperjuangkan keamanan sejagat serta berani menyuarakan pendidiran tegas dalam menentang segala bentuk kezaliman dan penindasan, memandangkan pelbagai konflik kini melihatkan persekitaran geopolitik dunia begitu rapuh.

"Krisis kemanusiaan dan genosid berterusan di Gaza, perang di Eropah Timur, sengketa berpanjangan di Asia Barat begitu juga antara Thailand dan Kemboja, tentunya memberi kesan kepada Malaysia baik secara langsung mahupun tidak langsung.

"Bagi memelihara kepentingan diplomasi dan strategik negara dari segenap sudut, maka Perdana Menteri, Menteri Luar serta seluruh anggota Jemaah Menteri memikul amanah besar untuk memastikan setiap kenyataan dan tindakan mereka sentiasa bersifat tersusun dan terukur," katanya.

Mengenai kadar tarif 19 peratus dikenakan Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia, Hamzah berkata PN berpendirian jelas bahawa negara ini mesti berdagang dengan bermaruah terutamanya dalam mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara.

AS mengenakan tarif pada kadar yang dikurangkan kepada 19 peratus daripada 25 peratus ke atas import dari Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos.

-- BERNAMA



#Perikatan Nasional #Hamzah Zainudin #Anwar Ibrahim #konflik Thailand-Kemboja #ucap tahniah #Dewan Rakyat #terkini