Kongres Maruah Melayu: Anwar diundang saat akhir

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 7, 2019 06:19 MYT
Menurut Anwar jemputan itu dibuat selepas beliau mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak dijemput oleh sekretariat kongres itu. - Foto Astro AWANI
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau diundang menghadiri Kongres Maruah Melayu (KMM) semalam pada saat akhir.
Menurut Presiden PKR itu, jemputan itu dibuat selepas beliau mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak dijemput oleh sekretariat kongres itu.
Katanya, undangan itu dikemukakan pada petang 5 Oktober lalu namun beliau tidak dapat menghadirinya kerana berada di Port Dickson.
"Saya dapat undangan lambat sangat, petang 5 Oktober saya ada di Port Dickson Negeri Sembilan.
"Saya memang tidak dijemput namun bila saya ditanya, saya sebut tak dijemput. Dia (pihak kongres) kata parti ini parti pelbagai kaum, jadi tak dijemput, tapi jemput juga.
“(Jemputan) itu dimaklumkan (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) yang ada menelefon saya petang itu tetapi saya ada program di sekolah dan beberapa tempat lagi (di Parlimen Port Dickson)," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Kelihatan hadir pada KMM semalam adalah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
#Anwar Ibrahim #Azmin Ali #Dr Wan Azizah Wan Ismail #Kongres Maruah Melayu #Parlimen #PKR #Wan Azizah #Wan Azizah Wan Ismail