Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) mengarahkan pemberhentian serta-merta bagi kerja pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di kawasan Bandar Tasik Selatan.

Ia merupakan susulan kejadian kepingan konkrit di kawasan pembinaan lebuh raya di Jalan Sungai Besi yang terjatuh pada petang tadi.

“Pihak pemaju SUKE telah mengeluarkan arahan pemberhentian serta-merta kerja di tapak kejadian dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Prolintas selaku pemaju bagi projek pembinaan lebuh raya itu pada masa sama mengesahkan kejadian dinding parapet terjatuh dari struktur binaan lebuh raya dan menghempap sebuah kereta.

Pihaknya memaklumkan, kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 5 petang itu telah mengakibatkan seorang pemandu mengalami kecederaan.

“Dalam kejadian tersebut, pemandu kereta terlibat cedera ringan dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan segera.

“Pasukan Emergency Response Team (ERT) SUKE telah berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet serta kereta yang terlibat.

“Segala kesulitan yang timbul dari insiden ini amatlah dikesali dan SUKE akan memastikan segala aspek keselamatan sentiasa diutamakan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa demi keselamatan semua,” tambah Prolintas lagi.

Terdahulu, tular di media sosial apabila satu video menunjukkan mangsa yang merupakan seorang wanita dibantu keluar daripada kenderaannya oleh orang ramai selepas dihempap konkrit berkenaan.

BACA: Wanita nyaris maut bongkah konkrit jatuh atas kereta