MALAYSIA
Konsep 4P teras pembangunan Kuala Lumpur sebagai bandar raya mampan

Maimunah (kanan) diwawancara oleh pengacara Ally Iskandar (kiri) pada program Ruang Bicara mengenai ‘4P Pemacu Pembangunan Kuala Lumpur’ di Wisma Bernama, pada Rabu. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Konsep 4P iaitu Public (awam), Private (swasta), People (rakyat) dan Partnership (kerjasama) berjaya memacu pembangunan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya mampan dan berdaya huni, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Maimunah berkata, konsep itu selaras dengan visi dan aspirasi pembangunan Kuala Lumpur sebagai "City for All" (bandar untuk semua) yang menekankan penglibatan menyeluruh sektor awam, swasta dan komuniti bandar dalam membentuk masa depan ibu negara.
"Penerapan konsep 4P ini amatlah relevan untuk mendapatkan bandar raya Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang mampan, berdaya huni dan bandar raya yang disayangi oleh warga kotanya," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk '4P Pemacu Pembangunan Kuala Lumpur', malam tadi.
Maimunah berkata, kolaborasi erat dengan sektor swasta berjaya mempercepat pelaksanaan projek pembangunan bandar selain menambah nilai dalam aspek penyelenggaraan, infrastruktur dan kesejahteraan masyarakat."Sebagai contoh, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menubuhkan Tabung Endowmen DBKL yang memberikan ruang kepada pihak swasta membuat sumbangan kepada enam bidang termasuk landskap, infrastruktur, perumahan, pendidikan dan mobiliti," katanya.
Katanya, inisiatif hijau dan komuniti yang digerakkan DBKL turut mendapat sokongan padu sektor swasta dengan program anak angkat taman yang kini melibatkan 27 taman bandar serta projek memperindah lorong belakang di kawasan warisan Kuala Lumpur melalui seni mural dan seni awam.
Selain itu, beliau berkata, DBKL bekerjasama dengan pengusaha teknologi solar dan pengeluar cat untuk membantu penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi tenaga boleh diperbaharui serta menceriakan bangunan kediaman.
"Program seperti 'Car Free Morning' (Pagi Bebas Kenderaan) yang dianjurkan DBKL juga disokong sektor swasta seperti Bank UOB yang menyediakan basikal untuk orang ramai. Ini antara contoh kerjasama yang berjaya mengurangkan beban kewangan pihak berkuasa tempatan," katanya.
Maimunah berkata, Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang diwartakan pada 28 Mei lepas dan mula dikuatkuasakan pada 11 Jun akan menjadi panduan utama pembangunan bandar raya ini.
Katanya, pelan itu telah melalui proses libat urus awam yang menyeluruh melibatkan lebih 38,000 maklum balas dan 51 sesi penerangan sekali gus mencerminkan komitmen terhadap pembangunan inklusif.
"Jika agensi-agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lain-lain ingin membuat pembangunan, pelan inilah yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan garis panduan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami