Dua orang pakar yang melakukan penilaian semula status Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGG), mendapati bahawa pulau peranginan itu dan komunitinya sangat komited kepada konsep geopark.

Sigurdur Sigursveinsson dari Iceland berkata walaupun proses penilaian semula itu sedang berjalan dan masih terlalu awal untuk memberi kelulusan bagi LUGG tetapi beliau telah dapat melihat bagaimana konsep geopark diterapkan kepada masyarakat di pulau itu.

"Pemandangan di sini menakjubkan dan layanan yang diberikan sangat baik, kami begitu kagum. Kami berpuas hati dengan sambutan yang diberikan kepada kami dan juga oleh penduduk dan keindahan alam semula jadi serta budaya setakat ini sangat baik.

"Mengenai Pusat Penemuan Langkawi Geopark, beliau berkata ia amat menarik. Saya berasa cemburu melihat betapa indahnya pusat itu. Secara keseluruhan, ia memberi tanggapan yang baik," kata beliau kepada pemberita selepas perasmian Pusat Penemuan Langkawi Geopark di Kilim Karst Geoforest Park, di sini pada Jumaat.

Sigurdur Sigursveinsson juga menyentuh mengenai persembahan dari kumpulan Pencak Sula Silat Tokku Langkawi, Kubang Badak yang dianggapnya sebagai proses pembelajaran untuk dirinya sendiri.

"Ia sangat menarik, kami tidak mempunyai apa-apa seperti itu di negara saya. Jadi ini adalah satu pengalaman pembelajaran.

"Sudah tentu geopark bukan hanya tentang batuan tetapi juga tentang komuniti rakyat iaitu salah satu perkara yang menarik orang untuk melawat geopark adalah untuk mempelajari budaya di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Dr Kirstin Lemon dari Ireland berkata sungguh menakjubkan untuk melihat begitu banyak warisan budaya dan biodiversiti dalam geopark geologi. Pusat Biodiversiti Geopark Langkawi, menurutnya akan menjadi aset yang sangat baik kepada geopark.

"Ada banyak maklumat mengenai geologi di pusat ini yang benar-benar akan menjadi tumpuan bukan untuk sahaja bagi masyarakat setempat tetapi semua orang yang tinggal di Langkawi dan pengunjung ke geopark," katanya.

Selain Pusat Penemuan Langkawi Geopark, kedua-dua pakar itu juga melawat ke sebuah kilang simen dan Gunung Raya di sini selain menaiki kapal dan makan malam bersama Penaung Diraja LUGG untuk menilai aspek rakan geopark, pembangunan masa depan, geo pelancongan dan tadbir urus.

-- BERNAMA