KUALA LUMPUR: Konsep Keluarga Malaysia akan dijadikan falsafah baharu dalam pentadbiran negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, pendekatan pentadbiran itu mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang serta fahaman politik untuk bersama berganding bahu membawa negara keluar daripada kemelut pandemik dan ekonomi.

Tambah beliau, konsep itu juga dilihat mendapat maklum balas serta penerimaan positif dalam kalangan rakyat.

“Dalam hubungan ini, patik memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan keberhasilan Program Memorandum Persefahaman (CSA) yang telah ditandatangani antara pihak Kerajaan dan pembangkang.

“Semua tumpuan kini adalah saling bekerjasama untuk membangunkan negara supaya pulih daripada krisis ekonomi dan kesihatan awam.

“Alhamdulillah hasilnya terlihat jelas dengan perjalanan urusan di Parlimen yang lancar serta konstruktif yang merupakan manifestasi muafakat Keluarga Malaysia serta demokrasi bermusyawarah seperti titah Tuanku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Turut berangkat dalam istiadat tersebut ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama.

“Bagi tujuan menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, kerajaan telah menubuhkan Yayasan Keluarga Malaysia.

“Tujuan penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia ini ialah untuk membantu dan menyantuni anak-anak yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan anak-anak yatim serta yatim piatu yang lain.

“Kerajaan juga telah mengorak langkah untuk mengeluarkan produk vaksin Malaysia yang berkualiti, berkesan dan selamat melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI),” ujarnya.