KUALA LUMPUR: Konsep kompas kestabilan rakyat bukan sekadar slogan kerajaan, malah menjadi panduan strategik dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Malaysia, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.
Beliau berkata, kestabilan negara bukan bergantung kepada mana-mana parti politik atau pemimpin semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua pihak, termasuk kerajaan, agensi, pembangkang dan rakyat untuk mengekalkannya.
Advertisement
“Siapa juga yang diangkat untuk memimpin negara, tanggungjawabnya ialah untuk menjaga kesinambungan proses pembinaan negara. Jangan dilihat daripada kaca mata politik atau kepentingan politik (kerana) fokusnya ialah kepada rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara: Kompas Kestabilan Rakyat terbitan Bernama TV semalam.
Ismail berkata, jentera komunikasi kerajaan perlu membentuk pendekatan kreatif dan inovatif bagi memastikan rakyat memahami dasar, polisi, dan inisiatif kerajaan MADANI, termasuk usaha memperkukuh kesejahteraan di peringkat akar umbi.
Walaupun pelbagai inisiatif kerajaan telah dilaksanakan, keberkesanannya hanya dapat dirasai apabila rakyat memahami matlamat dan iltizam kepimpinan yang mendasarinya, katanya.
Beliau turut mengakui cabaran utama dalam komunikasi kerajaan ialah persepsi rakyat terhadap laporan media, termasuk daripada J-KOM sendiri, yang kadangkala dilihat sebagai propaganda politik.
Ismail berkata, perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 menuntut kerajaan MADANI mengadaptasi pendekatan komunikasi yang lebih terbuka dan matang, sejajar dengan perkembangan demokrasi negara.
“Sekiranya kita masih terikat dengan kerangka pemikiran lama atau politik identiti, penyelesaian tidak akan dicapai. Isu-isu sensitif seperti agama dan kaum perlu ditangani dengan matang, bukan sekadar bersandarkan emosi atau disinformasi (maklumat palsu) media sosial,” katanya.
Beliau berkata, nasionalisme baharu yang diperjuangkan kerajaan MADANI adalah berdasarkan keyakinan, patriotisme dan perpaduan, bukan ketakutan atau ugutan.
Dalam konteks cabaran media sosial, Ismail berkata kerajaan perlu mengurus maklumat yang rencam agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan manipulasi.
“Keberkesanan komunikasi strategik ini penting bagi mengekalkan kestabilan rakyat dalam landskap demokrasi yang semakin kompleks,” katanya.
-- BERNAMA