KANGAR: Konsep Malaysia MADANI merupakan kunci bagi menyatukan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama agar lebih menghargai keamanan serta kebebasan yang dikecapi selama 66 tahun hingga ke hari ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.

Beliau berkata, 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' yang dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik rakyat Malaysia.

"Dalam Konsep Malaysia MADANI, perpaduan merupakan kunci utama bagi memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan serta kemodenan yang berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran program Karnival Hari Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perlis di Dataran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), di sini, pada Ahad.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri Perlis, Dr Aisa Azira Abdul Aziz dan antara yang hadir ialah Pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) Perlis, Azrul Hasan; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis (JBSNPs), Nizam Mat Daud dan ketua-ketua jabatan.

Sementara itu, Azrul berkata, karnival dua hari anjuran bersama JAPEN dan JBSNPs itu mendapat sambutan yang mengalakan dari semua lapisan masyarakat, dan antara aktiviti yang ditampilkan pada program Karnival itu ialah langkah perpaduan, senamrobik 66 minit, pameran agensi kerajaan. - BERNAMA