DREBAR
Konsep pemanduan ‘autonomous’ jadi perhatian

Bagaikan bukti kepada kemajuan yang sudah dibuat di dalam bidang ‘piloted driving’, sebuah kereta Audi A7 yang dipasang dengan teknologi pemanduan tanpa pemandu ini telah menjelajah dari Los Angeles ke Las Vegas baru-baru ini. Perjalanan sejauh 900km ini melibatkan penumpang yang terdiri daripada seorang pemandu professional Audi dan juga beberapa orang wartawan. Setiap wartawan telah memandu sekitar 161km.
Berbeza dengan kali terakhir Audi ‘membawa’ kereta A7 ini keluar ke litar lumba, pemanduan ke Las Vegas di mana pameran CES berlangsung ini menempuh jalan raya biasa serta berkongsi jalan dengan pelbagai lagi pengguna.

Kereta konsep ini bergerak tanpa perlukan bantuan daripada pemandu diantara keadaan rehat sehingga 112km/sj. Pada waktu sistem pemanduan dilakukan secara automatik, antara perkara-perkara yang dapat dilakukan tanpa input manusia termasuk penukaran lorong, dan memotong kenderaan di hadapan. Tentunya, ia juga dapat memecut dan brek dengan sendiri.

Kebolehan ini direalisasikan melalui penggunaan beberapa sensor yang kebanyakkannya sudah mampu untuk dihasilkan secara besar-besaran. Bahagian belakang dan hadapan A7 ini dilengkapkan dengan radar jarak jauh yang digunakan oleh sistem Active Cruise Control (ACC) serta Audi Side Assist (ASA).
‘Pemerhatian’ 3600 juga dijadikan lengkap melalui sepasang radar jarak separa jauh. Di samping itu, pengimbas laser juga ada, yang berfungsi sebagai sumber tambahan untuk mengenal pasti objek-objek bergerak dan sebaliknya. Sebuah kamera 3D resolusi tinggi yang pertama kali digunakan di dalam Audi Q7 bertugas mempamerkan imej yang berhadapan kereta ini. Sistem navigasi GPS sekadar memberikan maklumat asas arah tuju.

Sistem ini akan turut memberikan amaran apabila ia mula menghampiri hadnya untuk mengawal kereta dengan selamat, contohnya pada suasana bandar. Apabila ini terjadi, sistem autonomous ini akan meminta si pemandu untuk mengambil alih. Amaran yang diberikan kepada pemandu berupa visual dan juga bunyi. Jika pemandu masih tidak bertindak untuk mengambil kawalan, lampu ‘hazard’ akan dinyalakan dan kereta akan diberhentikan dengan secara selamat. Mengikut Audi, lazimnya kereta akan diberhentikan di lorong kecemasan.
