Konsert Coldplay: 'Suis pemati akan diguna jika langgar peraturan' - Fahmi

Hilmi Malik
November 22, 2023 07:10 MYT
Fahmi berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama PUSPAL dan penganjur sebelum ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Konsert Coldplay yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini dilengkapi suis pemati (kill switch) yang akan digunakan jika wujud sebarang pelanggaran peraturan yang telah ditetapkan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dan dipersetujui penganjur.
“Setakat ini perbincangan antara PUSPAL dan juga pihak penganjur (konsert Coldplay) sangat positif dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga telah menyatakan band ini menzahirkan sokongan terhadap Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri program Digital Transformation Leader’s CxO Summit: Intellogent Digital Transformation in the 5G Era di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Fahmi turut menggesa orang ramai menggunakan pengangkutan awam yang tersedia sehingga lewat malam bagi mengelak berlaku kesesakan di kawasan stadium.
Sebelum ini, wujud beberapa gesaan agar konsert Coldplay dibatalkan bagi menghormati situasi peperangan yang sedang berlaku di Palestin.
Selain itu, wujud juga kebimbangan insiden konsert kumpulan The 1975 sebelum ini berulang yang telah mencetuskan kemarahan ramai pihak.
Konsert Coldplay yang akan dibanjiri peminatnya malam ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah kumpulan tersebut yang membawa tema Music of the Spheres World Tour.
#Fahmi Fadzil #kill switch #konsert Coldplay #Palestin