Konsulat Mongolia telah menyatakan penghargaannya terhadap sokongan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain yang meminta agar siasatan kes yang dijalankan pihak berkuasa melibatkan dua wanita rakyat Mongolia yang didakwa dirogol oleh seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan penahanan tiga rakyatnya di bawah Perintah Perlindungan Sementara (IPO) dijalankan secara telus.

Konsul Kehormat Mongolia Reynolds Augustine berkata perbincangan dalam talian, liputan media dan sokongan meluas telah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai nasib lima wanita Mongolia itu, menyaksikan pihak polis menegaskan komitmen mereka untuk menyiasat kes tersebut dengan pertanggungjawapan tertinggi.

“Walaupun kami berfungsi dalam keadaan yang sukar, kami merasa bangga mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia yang prihatin terhadap situasi yang dihadapi lima wanita Mongolia ini.

“Kami sangat berterima kasih untuk sokongan ini walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang dan yakin bahawa perhatian yang diterima untuk kes ini akan memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban sepanjang siasatan kes,” kata Augustine dalam kenyataan melalui firma guaman peguam bela dan peguam cara Thomas Philip pada Isnin.

Antara NGO yang telah menyuarakan sokongan, Persatuan Persahabatan Mongolia Malaysia, Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM), Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FFSG) dan Amnesti Antarabangsa Malaysia.

Sementara itu, pengasas dan rakan pengurusan firma guaman tersebut, Thomas Philip berkata mereka akan terus memberikan bantuan undang-undang kepada Konsulat Mongolia untuk memastikan siasatan kes itu berjalan lancar dan selaras dengan undang-undang.

“Kami telah mengawasi status tiga kenalan yang telah memberi respons untuk membantu dua mangsa yang didakwa dirogol itu.

“Kami telah mendapat jaminan pihak polis bahawa mereka hanya membantu dalam siasatan ini atas dasar bahawa ketiga-tiga mereka bukan sebagai pelaku dan kami, sama seperti pihak lain yang menyatakan sokongan, sedang menunggu hasil siasatan ini,” kata Thomas.

Menurut laporan Bernama pada 12 April lepas, seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan selepas disyaki merogol dua wanita Mongolia di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 11 April.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan selepas polis menyelamatkan mangsa, yang masing-masing berusia 20 dan 37 tahun, di hotel berkenaan.

Suspek direman lima hari bermula 12 April untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan dia dibebaskan dengan jaminan polis.

Polis telah menghantar kertas siasatan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA