JAKARTA: Empat pasukan dari Malaysia telah mencatatkan prestasi membanggakan dalam pertandingan ASEAN Cyber Shield (ACS) buat julung kalinya yang berlangsung pada 21-24 November 2023 di Sheraton Grand Jakarta Gandaria City Hotel di Jakarta.

Pertandingan ini anjuran bersama Korea Internet Security Agency (KISA) dan Badan Sandi dan Siber Negara (BSSN), Indonesia.

Di bawah inisiatif ASEAN-Korea Cooperation Fund (AKCF), penganjuran ACS juga melibatkan persidangan keselamatan siber, bengkel pembangunan kapasiti forensik digital, pertemuan antara syarikat-syarikat keselamatan siber Korea, pameran reruai dan juga Hackaton sepanjang empat hari acara ini berlangsung.

Pertandingan ini menyaksikan penyertaan sebanyak 37 pasukan dari 10 negara anggota ASEAN untuk menguji kemahiran mereka dalam bidang keselamatan siber dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$77,000.

Empat pasukan Malaysia yang menyertai pertandingan ini telah dipilih melalui tapisan yang ketat oleh Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara (NACSA, MKN) bersama rakan strategik bagi memastikan kontingen negara mempunyai nilai professionalisme, integriti, adab dan kemahiran yang tinggi.

Empat pasukan tersebut terdiri daripada:

KATEGORI PELAJAR

“Team Cincai”
1. Choo Chi Siang (Tunku Abdul Rahman University Of Management and Technology, TARUMT)
2. Wang Teng Zheng (Tunku Abdul Rahman University Of Management and Technology, TARUMT)
3. Loh Kae Shyan (Asia Pacific University, APU)
4. Chua Jian Shen (Sunway School of Engineering and Technology, SET)
 
“Team Excelsior”
1. Damien Wong Shan Ming (Taylor's University)
2. Nik Amir Hakim Bin Nik Badrul Hisham (Universiti Tenaga Nasional, UNITEN)
3. Muhammad Firdaus Amran (Universiti Selangor, UNISEL)
4. Naavin Ravinthran (Monash University)

KATEGORI TERBUKA

“Trailblazers”
1. Wong Yik Han (F-Secure Sdn. Bhd.)
2. Muhammad Ali Akbar Bin Radzali (BAE Systems Digital Intelligence)
3. Lim Zhi Xuan (Sitecore Malaysia Sdn. Bhd.)
4. Mohd Shahril bin Zainol Abidin (Maybank Shared Services Sdn. Bhd.)

“Kopi Goo”
1. Lim Wei Xun (Intertek NTA)
2. Wesley Wong Kee Han (Privasec)
3. Tan Weiu Cheng (National University of Singapore, NUS)
4. Tan Kel Zin (National University of Singapore, NUS)

PASUKAN MALAYSIA MENCIPTA SEJARAH

Kesemua pasukan dari Malaysia telah berjaya mendapat tangga 5 teratas dalam kategori masing-masing dan seterusnya layak ke pusingan akhir.

Pencapaian yang membanggakan ini membuktikan bahawa Malaysia mempunyai bakat muda yang berpotensi dalam bidang keselamatan siber.

Pasukan "Team Cincai" telah menonjolkan prestasi yang cemerlang dengan meraih tempat ketiga dalam kategori Pelajar danmembawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$5,000.

Ketua Pasukan, Choo Chi Siang menyatakan keterujaan pasukan mereka dalam menyelesaikan cabaran yang unik dan lebih sukar berbanding di persidangan CYDES2023 melalui acara Cyber Warzone: Capture The Flag Competition, yang diakui oleh ahli pasukannya sendiri merupakan cabaran paling sukar yang pernah mereka sertai di dalam negara dan berjaya merangkul tempat pertama dalam acara tersebut yang dianjurkan oleh NACSA, MKN pada Julai yang lalu.

Kejayaan pasukan ini menunjukkan keupayaan mereka dalam menghadapi cabaran dan menyelesaikan masalah dalam situasi yang mirip dengan insiden keselamatan siber yang sebenar.

IMPAK POSITIF KE ATAS INDUSTRI KESELAMATAN SIBER

Dalam satu kenyataan terkini, Ketua Eksekutif NACSA, Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin, menegaskan bahawa inisiatif terbaru ini yang diperkenalkan oleh NACSA bertujuan untuk memajukan kapasiti dan bakat dalam bidang keselamatan siber, terutamanya di kalangan generasi muda.

Beliau turut menyatakan bahawa kerjaya di dalam keselamatan siber bukan sahaja menawarkan peluang yang meluas, malah membawa potensi pendapatan yang tinggi.

NACSA berhasrat untuk melihat lebih ramai bakat muda terlibat dalam bidang ini dan memanfaatkan peluang-peluang yang disediakan.

Menurut beliau, pada tahun 2025, Malaysia memerlukan lebih daripada 25,000 profesional dalam bidang keselamatan siber.

Walau bagaimanapun, pada masa kini, hanya terdapat kira-kira 13,000 sahaja yang aktif di pasaran tempatan. Kehadiran NACSA dengan inisiatif ini diharap dapat menggalakkan lebih banyak generasi muda untuk memilih keselamatan siber sebagai pilihan kerjaya yang menarik dan berpotensi.

Penyertaan kontinjen Malaysia dalam pertandingan ACS ini telah memberikan peluang yang berharga kepada para peserta untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang keselamatan siber serta berpeluang berkongsi pengalaman dengan kumpulan-kumpulan tempatan yang lain.

Selain itu, pertandingan ini juga telah mengeratkan hubungan antara negara-negara ASEAN dalam usaha menangani ancaman siber yang semakin meningkat dirantau ini.