KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memberikan sebarang kata putus berhubung status kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang akan berakhir pada 12 Mei ini.
"Mereka tidak bertanya kepada saya, biar mereka tanya saya dulu," ujar Anwar ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 (SHWA2026), di sini, pada Selasa.
Advertisement
Sebelum ini, sebuah agensi berita di Singapura mendakwa kontrak Azam tidak akan dilanjutkan, memetik sumber peringkat tinggi yang namanya dirahsiakan.
Tambah laporan itu, kerajaan kini berhadapan tekanan besar berhubung siasatan pemilikan saham oleh Azam, justeru perkhidmatan ketua pesuruhjaya itu bersama SPRM tidak akan diteruskan.
Terdahulu, media antarabangsa, Bloomberg menerusi laporannya mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun Azam menegaskan pegangan saham miliknya yang bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Kerajaan juga ada menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.
Laporan daripada Jawatankuasa Khas Siasatan itu sudah diterima Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, pada Selasa.
Laporan itu kemudiannya dipanjangkan ke Lembaga disiplin Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat.