KUALA LUMPUR: Seorang broker ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu.

Ia dianggarkan bernilai RM24 juta berkaitan kontrak perolehan enam buah Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS).

Menurut sumber, permohonan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 30 Januari depan itu dibenarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Ia selepas SPRM membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Katanya, suspek lelaki berusia 62 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 9.30 malam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Difahamkan, suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM24 juta kepada sebuah syarikat perkapalan melalui tiga syarikat.

Katanya lagi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.