Skip to main content

Malaysia

Kontraktor dipenjara empat tahun sebabkan kematian lelaki disyaki pencuri

51744102561_CourtMahkamah.jpg
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, iaitu pada 5 April 2023. - Gambar hiasan

SIBU: Seorang kontraktor hari ini dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana menyebabkan kematian seorang lelaki yang disyaki pencuri dalam insiden tembakan di Jalan Ulu Sieu Bakong, Meradong pada April 2023.

Hakim Wong Siong Tung membuat keputusan itu selepas mendapati Tang Kee Tan, 68, bersalah di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Wong Soon Guan, 40.

Advertisement

Kee Tan juga dijatuhi hukuman penjara selama setahun di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan dengan senjata api dan mencederakan seorang lagi lelaki, Wong Soon Wuong, 30, dalam insiden yang sama.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak, bermula dari tarikh Kee Tan ditangkap, iaitu pada 5 April 2023.

Hakim berkata faktor yang paling serius kerana insiden ini mengakibatkan kehilangan nyawa manusia dan penggunaan senjata api juga meningkatkan tahap keseriusan kesalahan ini dengan ketara.

Hakim itu berkata mahkamah bagaimanapun turut mengambil kira bahawa insiden itu berlaku dalam keadaan tertuduh percaya hartanya sedang dicuri, kejadian berlaku dalam keadaan gelap dan perbuatan tersebut tidak dirancang terlebih dahulu.

Kee Tan pada asalnya didakwa atas pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 5 April 2023 di tepi jalan Ulu Sieu Bakong, Meradong, Bintangor.

Selepas mendengar keterangan saksi dan hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah mendapati Kee Tan bersalah atas kesalahan yang lebih ringan di bawah Seksyen 304(b), yang melibatkan kesalahan membunuh tanpa niat.

Semasa rayuan pengurangan hukuman, peguam bela Rosli Gapor berkata Kee Tan merupakan pesalah kali pertama yang cuba mempertahankan hartanya, namun telah melampaui batas dalam hak mempertahankan diri.

Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto bagaimanapun memohon hukuman penjara yang berat, dengan berhujah bahawa Kee Tan telah dengan sengaja melepaskan tembakan menggunakan senapang patah berlesen sebanyak tiga kali ke arah mangsa yang sedang melarikan diri, sehingga mengakibatkan seorang maut dan seorang lagi mengalami kecederaan serius.

Mark Kenneth berkata hukuman yang tegas diperlukan bagi mencerminkan keseriusan kesalahan, mengiktiraf kehilangan nyawa manusia serta menghantar mesej pencegahan yang jelas terhadap penyalahgunaan senjata berlesen dan tindakan bersenjata secara sendiri.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video