[TERKINI] Nahas Gerik: Bas Bawa Penuntut UPSI Dipandu Melebihi Had Laju Dua Kali Ganda – Semak Perincian MOT Di Sini
MALAYSIA

Kontraktor ditemui mati dengan kesan kelar di leher, pergelangan tangan

Sin Chew Daily 18/07/2025 | 00:20 MYT
Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui dengan kesan kelar di tapak pembinaan perumahan di Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) di Dungun pada petang semalam. - Foto Sinar Harian
DUNGUN: Seorang kontraktor ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar di leher dan pergelangan tangan kirinya di tepi jalan berhampiran tapak pembinaan perumahan di Taman Madani, Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa berusia lingkungan 40-an itu ditemui kira-kira jam 3.15 petang dalam keadaan terbaring di atas tanah, bersebelahan pintu penumpang hadapan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

“Siasatan awal mendapati terdapat beberapa kesan kelar di pergelangan tangan kiri dan leher mangsa.

“Turut ditemukan sebilah pisau pemotong kertas berhampiran mayat,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Menurutnya, siasatan forensik sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian serta meneliti kemungkinan wujud unsur jenayah.

“Mangsa dikenal pasti berasal dari Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur dan kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Syukri Mamat, 35, berkata, dia bersama rakannya menjumpai mayat mangsa ketika sedang menghantar makanan kepada seorang lagi rakan yang bekerja di tapak pembinaan tersebut.

Katanya, dia terkejut apabila melihat seorang lelaki terbaring berlumuran darah ketika melalui kawasan projek perumahan itu.

“Pada awalnya kami nampak seorang lelaki terbaring di tepi kereta. Kami sangka dia tidur atau keretanya rosak sebab enjin masih hidup.

“Tapi bila kami dekati lelaki itu, kami terkejut sebab nampak badannya berlumuran darah. Kami segera hubungi polis,” katanya.

Rakan sekerja mangsa, Mohd Bustaman Azmi, 40, pula berkata, mangsa sebelum itu memaklumkan kurang sihat dan mahu ke klinik sekitar jam 10 pagi.

“Dari jam 11 pagi hingga 3 petang saya cuba hubungi dia, tapi tak berjawab. Bila keluar cari, saya dapati orang ramai sudah berkumpul dekat keretanya. Mereka kata dia dah meninggal dunia.

“Pagi tadi dia nampak murung dan kurang bercakap. Saya tak pasti kalau dia ada masalah lain,” katanya. - Sinar Harian




#Kontraktor #kelar #Dungun #tapak pembinaan