KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menyenarai-hitam mana-mana kontraktor yang melengah-lengahkan pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Timbalan Ketua Menteri ll Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata ini kerana kerajaan negeri tidak mahu rumah untuk rakyat Sabah yang kurang berkemampuan itu lewat disiapkan dan mendapati terdapat kontraktor yang melengah-lengahkan pembinaannya.

"Kita akan melihat punca pembinaan rumah itu lewat. Jika kerana cuaca atau jarak lokasi jauh, mereka (kontraktor yang berdepan situasi itu) akan diberikan elaun khas," katanya menerusi kenyataan sempena penyerahan Rumah Mesra SMJ di Ranau hari ini.

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, berkata selagi kerajaan negeri diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), program Rumah Mesra SMJ di negeri ini akan diteruskan demi membantu rakyat yang memerlukan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang merupakan parti komponen GRS berkata setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diperuntukkan 20 buah Rumah Mesra SMJ.

Rumah Mesra SMJ yang dilancar kerajaan Sabah pada September 2022, merupakan program pemberian rumah bernilai RM70,000 secara percuma kepada rakyat dengan mengguna pakai konsep Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu rakyat berada di bawah garis kemiskinan.

-- BERNAMA