Kontraktor projek jajaran laluan SDE diberi notis pembatalan kontrak

Bernama
Mac 22, 2021 22:36 MYT
Mohd Solihan (tengah) berbincang dengan Pengarah Pembinaan Pasukan PPIC dan Khas Jalan Ir Hasmi Ahmad (kiri) dan Jurutera JKR Kota Tinggi, Normansah Bokhari (kanan) ketika melawat tapak projek di Plaza Tol Bandar Penawar, 22 Mac, 2021. --fotoBERNAMA
KOTA TINGGI: Kerajaan negeri Johor telah mengeluarkan notis pembatalan kontrak kepada kontraktor yang mengendalikan projek jajaran laluan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) ke Bandar Penawar bernilai RM79 juta semalam, kerana lewat memasuki tapak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri berkata kontraktor berkenaan dijadualkan memasuki tapak projek itu pada 6 Jan lepas, namun gagal berbuat demikian hingga kini.
Sehubungan itu, beliau berkata kontraktor tersebut diberi tempoh masa selama dua minggu untuk membalas notis berkenaan dan sekiranya jawapan yang diberikan tidak meyakinkan selain tiada alasan kukuh, kerajaan negeri akan membatalkan kontrak mereka.
"Hal ini kerana, kita dapati kontraktor ini bukan sahaja belum ambil tapak, malah polisi insurans juga baru mula dibeli dua hari lepas.
"Selain itu, bon pelaksanaan, surat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), carta organisasi tapak dan program kerja tidak dibuat selepas tarikh milik tapak," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek berkenaan di sini, semalam.
Beliau berkata tindakan kontraktor berkenaan akan mengakibatkan projek yang mengambil masa selama empat tahun itu tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan selain akan menggagalkan perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan berkenaan.
"Ini satu contoh tidak menepati etika kontraktor yang bagus... ekoran daripada ini, ia akan mengakibatkan projek tertangguh," katanya.
Menurutnya, selain jajaran daripada laluan Lebuhraya SDE ke Bandar Penawar sepanjang 1,546 meter itu, projek berkenaan turut melibatkan pembesaran laluan Bandar Penawar ke Kota Tinggi.
Mohd Solihan berkata projek itu penting antaranya bagi mengatasi kesesakan di lebuh raya berkenaan terutama ketika sambutan perayaan.
"Kontraktor perlu tahu bahawa masuk tapak itu memang wajib... kerja kena tepat masa jadi duit rakyat tidak membazir dan tidak mengganggu kerja pegawai-pegawai terlibat," tambahnya lagi.
-- BERNAMA
#Kota Tinggi #keselamatan #kerajaan #batal kontrak #Kontraktor #projek jajaran laluan #SDE #Lebuhraya Senai-Desaru #Bandar Penawar #lewat masuk tapak #Mohd Solihan Badri #tapak projek #etika #tangguh #kesesakan #projek tertangguh