Kontraktor dan rakyat negeri ini kecewa dengan tindakan dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah.

Seorang kontraktor, Badriansyah Mohd Hamdi, 52, berkata tindakan itu bukan sahaja menyebabkan periuk nasi kontraktor bumiputera terjejas, tetapi turut menyebabkan pendapatan mereka hilang kerana projek yang sepatutnya diagihkan kepada kontraktor berdaftar hanya dimonopoli pihak tertentu.

"Sepatutnya projek yang diberikan kerajaan perlu dilaksanakan secara telus agar ia dapat dilaksanakan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

"Oleh itu, kita berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat membongkar semua penyelewengan yang berlaku di negara ini. Ia merupakan kesalahan yang paling serius dan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian besar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sambil mengutuk perbuatan tersebut, seorang lagi kontraktor, Herry Pengui, 31, berharap SPRM dapat mempergiatkan lagi usaha membanteras isu penyelewengan seumpama itu.

"Perbuatan itu sangat memalukan dan sebagai rakyat kita merasa sangat kecewa kerana projek yang sepatutnya dapat memberi manfaat kepada rakyat telah disalahgunakan individu yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Sebelum ini, SPRM merampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah, yang merupakan kes terbesar dalam sejarah SPRM.

Sementara itu, seorang pekerja swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Fozi, 45, berkata tindakan dua pegawai kanan kerajaan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana mereka sudah lama berkhidmat dalam perkhidmatan awam serta mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan penjawat awam.

Katanya tindakan kedua-dua pegawai kanan berkenaan, yang tidak bertanggungjawab terhadap profesion mereka telah menyebabkan kerajaan dan rakyat turut mengalami kerugian besar.

"Tidak mustahil projek pembangunan infrastruktur yang dirancang selama ini, yang sepatutnya dinikmati rakyat Sabah tidak dapat dijalankan mengikut jadual atau mengalami kelewatan untuk siap kerana wujud pelbagai birokrasi disebabkan pecah amanah dan rasuah.

"Dengan terbongkarnya kes ini, diharapkan semua pegawai kanan kerajaan lebih bertanggungjawab dan amanah kerana duit itu rakyat punya...ia untuk pembangunan (bagi dinikmati) rakyat," katanya.

Seorang lagi pekerja swasta Sylvernus Gilbert Lee, 32, berkata rampasan yang dibuat SPRM menunjukkan suruhanjaya itu benar-benar komited untuk membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada SPRM, beliau berharap suruhanjaya itu meneruskan usaha membongkar lebih banyak salah guna kuasa agar penjawat awam tidak sewenang-wenangnya pecah amanah.

"Syabas SPRM kerana berjaya menjalankan tugas membanteras rasuah di negara ini...teruskan lagi usaha untuk memastikan tiada yang berani melakukan salah guna kuasa yang merugikan negara," katanya.