MERBOK: Susulan kontroversi membabitkan Candi 11 yang dirobohkan pada tahun 2013 bagi tujuan pembangunan, dan kini disebut-sebut semula di media sosial, Astro AWANI Kedah melakukan tinjauan di kawasan yang didakwa merupakan tapak asal candi berkenaan.

Hasil tinjauan mendapati tiada sebarang pembangunan dilakukan di kawasan itu namun ianya dikelilingi kawasan pembinaan taman perumahan baharu selain terdapat beberapa longgokan kayu di kawasan terbabit.

Seorang penduduk asal Kampung Tupah Lama, Siti Zainab Khamis, 54, atau lebih mesra dengan panggilan 'Mak Ngah' yang ditemui menceritakan kejadian sebenar yang berlaku ketika proses merobohkan candi berkenaan.

Tiada sebarang pembangunan dilakukan di kawasan itu namun ianya dikelilingi kawasan pembinaan taman perumahan baharu. - Foto Astro AWANI

Jelasnya, ketika itu, penduduk sekitar tertanya-tanya mengapa candi berkenaan dirobohkan memandangkan ianya merupakan satu monumen bersejarah.

Bagaimanapun, mereka menerima jawapan bahawa ianya adalah bagi projek pembangunan perumahan baharu yang akan dibina di kawasan berkenaan.

"(Kejadian itu) berlaku pada tahun 2013, (pada masa itu, Mak Ngah ada (menetap) di sini, pada masa itu (kami dimaklumkan), mereka nak buat projek (perumahan) ini, lepas itu ada orang dalam (kalangan penduduk di sini) bertanya kamu nak buat apa ini?

"(Jawapannya adalah) nak roboh candi ini, nak buat perumahan, lepas itu dia (wakil penduduk itu) kata bolehkah (lakukan tindakan itu) sebab benda (seperti candi) ini (hanya) ada di muzium-muzium (sebab ianya warisan sejarah), yang kamu nak buat ini (ada kaitan dengan perkara itu), (tetapi) depa kata tidak apa, lepas itu (ia) dirobohkan," katanya.

BACA: Masyarakat Merbok anggap Candi sebagai tinggalan sejarah lampau

'Mak Ngah' yang merupakan seorang peniaga dan telah menetap di situ hampir 30 tahun turut mendedahkan, serpihan batu-bata yang dirobohkan itu telah ditanam semula di tapak candi berkenaan.

"Tetapi mereka punya batu-batu itu semua (selepas) mereka dah korek habis semua, batu batu itu mereka tanam masuk dalam tapak candi itu, lepas itu mereka  ambil kelapa sawit mereka tutup. Selepas itu orang datang kacau (buat bantahan dan sebagainya), lepas itu mereka (tidak buat apa pembangunan di situ) sampai sekarang," katanya lagi.

Siti Zainab berkata pada 2013 penduduk sekitar tertanya-tanya mengapa candi berkenaan dirobohkan memandangkan ianya merupakan satu monumen bersejarah. - Foto Astro AWANI

Tambahnya, sehingga ke hari ini tiada sebarang proses penbangunan dilakukan di tapak Candi 11 berkenaan dan beberapa taman perumahan hanya dibangun di sekitarnya selain beberapa unit rumah kedai yang dibina berhadapan tapak berkenaan.

"Dalam (kawasan ini, bekas) tapak (Candi 11) yang (dirobohkan) dulu, sampai sekarang ada lagi tapak itu, tapak bekas candi ada di situ, tapi masa itu mereka bubuh pita kuning (pita polis), tapi sekarang mereka pacak kayu, sekarang ada lagi.

"(Tetapi berkenaan pembangunan) apa pun tak sentuh apa lagi sebab mereka (banyak pihak) pun dah kacau (bantah), (jadi) mereka tak buat apa lagi (di tapak itu), rasanya mereka suruh tinggal projek tu, tempat itu memang (perancangan asal) tapak perumahan tetapi (disebabkan) ada (isu) candi itu sampai sekarang tak buat apa lagi.

"(Di situ) tidak ada rumah penduduk, kira belakang (sahaja) ada taman, baru sahaja naik (dibangunkan), (tetapi) tak ada orang duduk (lagi), yang kampung (paling dekat pun agak) jauh, kira tidak kena mengena apa (dengan tapak itu)," katanya.

Sehubungan itu, dia berharap kejadian yang sama tidak lagi berulang agar warisan-warisan sejarah dapat dikekalkan untuk masa hadapan.