Konvoi motosikal dirempuh treler, seorang maut, enam cedera parah

Harits Asyraf Hasnan
November 25, 2018 04:24 MYT
Selepas dirempuh treler, salah seorang mangsa konvoi motosikal terpelanting dan digilis kenderaan lain yang datang dari arah sama. Foto JBPM Selangor
Sekurang-kurangnya seorang maut manakala enam lagi cedera parah apabila motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh treler dekat KM405 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Lembah Beringin dekat sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar 10.30 pagi itu, sekumpulan motosikal yang sedang berkonvoi dari arah selatan menuju utara, dipercayai berada di laluan paling kiri, dirempuh treler dari arah belakang.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Yusuf Ali berkata selepas dirempuh treler, salah seorang mangsa kemudian terpelanting dan digilis kenderaan lain yang datang dari arah sama.
“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian.
“Mangsa terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita, dihantar ke Hospital Buloh untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Pihak bomba yang menerima panggilan sekitar 10.33 pagi itu, tiba di lokasi kejadian 11.07 pagi.
Kata Yusuf, 13 pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Kuala Kubu Bharu dan Tanjung Malim dikerah ke tempat kejadian dan kerja-kerja merawat mangsa giat dijalankan.
Kemalangan tersebut turut menyebabkan kesesakan lebih lima kilometer dari susur keluar Lembah Beringin menuju utara.
#kemalangan #konvoi #Kuala Kubu Bharu #Lembah Beringin #maut #motosikal #PLUS #treler