MALAYSIA
Konvoi motosikal halang trafik boleh didakwa - JSPT Bukit Aman

Mohd Yusri menegaskan semua pengguna jalan raya harus saling bertolak ansur semasa berada di jalan raya bagi memastikan kelancaran dan keselamatan bersama. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Konvoi penunggang motosikal yang menghalang pergerakan kenderaan lain boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Beliau berkata di bawah seksyen berkenaan, jika disabitkan kesalahan, individu-individu terbabit boleh didenda minimum RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 atau dipenjara tidak kurang daripada setahun, atau kedua-duanya sekali.
"Setiap pergerakan berkumpulan atau konvoi perlu dimaklumkan kepada pihak JSPT bagi tujuan penyelarasan kumpulan berkenaan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
"Sekiranya pergerakan konvoi bermotosikal tersebut tiada bantuan keselamatan daripada pihak JSPT, ia perlu mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan serta tiada penggunaan pengiring atau marshal dibenarkan untuk pergerakan secara berkonvoi," katanya dalam kenyataan hari ini.Sebelum ini, tular video yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal bergerak secara berkumpulan di lebuh raya sambil dikawal beberapa individu memakai jaket keselamatan berwarna kuning.
Mohd Yusri berkata kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 285 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berdekatan Nilai, Negeri Sembilan, membabitkan pergerakan dari Kuala Lumpur ke arah selatan tanah air.
Beliau menegaskan semua pengguna jalan raya harus saling bertolak ansur semasa berada di jalan raya bagi memastikan kelancaran dan keselamatan bersama.
"Semua kenderaan yang bergerak perlahan hendaklah berada di lorong kiri dan tidak menghalang laluan kenderaan lain yang lebih laju," katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki, penunggang basikal atau pengguna bermotor supaya sentiasa bekerjasama dalam aliran trafik, sama ada di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri ataupun jalan bandaran.
--- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami