Koperal didakwa tipu tiga anggota polis berhubung urusan pertukaran tempat bertugas

Kesemua pertuduhan itu dibuat di bawah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu tiga rakan sekerjanya berhubung urusan permohonan pertukaran tempat bertugas, 10 tahun lepas.
Mohd Nazri Md Sir, 39, didakwa menipu tiga anggota polis berkenaan dengan memperdayakan mereka dalam urusan permohonan pertukaran tersebut, sedangkan tertuduh tidak bekerja di bahagian pertukaran.
Perbuatan itu mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang berjumlah RM10,500 yang dimasukkan ke dalam dua akaun bank milik tertuduh dan isterinya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah Berek Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras di sini antara Ogos hingga Nov 2015.Kesemua pertuduhan itu dibuat di bawah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Fatin Nur Syahzanani Zakaria yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM2,500 sebulan selain menanggung keluarga dan seorang isteri tidak bekerja.
"Anak guam saya juga menghidap penyakit jantung dan memerlukan rawatan susulan, selain dia juga tiada risiko untuk melarikan diri," kata peguam itu.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 3 Dis ini untuk sebutan kes.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami