Koperal polis direman berhubung kes curi kambing

Bernama
September 11, 2018 08:58 MYT
Anggota polis berusia 32 tahun itu didakwa meminta dan menerima rasuah daripada pengadu yang merupakan penternak kambing. - Gambar hiasan
Seorang anggota polis berpangkat koperal direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah bagi melindungi pengadu disyaki terbabit kegiatan mencuri kambing.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Mas Azmimin Ahmad di Mahkamah Seremban di sini, selepas membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan Riduan Kadri.
Menurut SPRM, anggota polis berusia 32 tahun itu yang bertugas di Pondok Polis Sungai Kelamah, Gemas didakwa meminta dan menerima rasuah daripada pengadu yang merupakan penternak kambing supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu yang dikatakan bersubahat dalam kegiatan mencuri kambing.
Susulan itu, SPRM membuat serbuan di pekan Gemencheh semalam dan menjumpai RM3,000 yang didakwa wang sogokan berkenaan dan menahan anggota polis itu.
-- BERNAMA
#curi #kambing #Koperal #polis #Rasuah #reman #siasatan