MALAYSIA
Koperasi perlu berani melangkah ke arah pendigitalan - Ramanan

R Ramanan ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Jom@Coop hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Koperasi perlu berani melangkah ke arah pendigitalan bukan sahaja dalam urusan kewangan tetapi juga pemasaran produk serta perkhidmatan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata ketika dunia bergerak ke arah ekonomi hijau, koperasi juga mempunyai peluang besar untuk menerajui inisiatif kelestarian melalui pertanian, tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan komuniti.
"Model perniagaan koperasi yang menekankan kepentingan bersama menjadikan ia lebih sesuai untuk memimpin usaha ini," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup program Jom@Coop 2025 di sini hari ini.
Ramanan berkata gerakan koperasi mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan maju namun mesti bersedia melakukan transformasi agar kekal relevan dengan perubahan zaman."Sejarah telah membuktikan bahawa koperasi adalah entiti yang berdaya tahan ketika berdepan krisis kerana ia sentiasa mengimbangi matlamat ekonomi dan sosial.
"Koperasi perlu mempunyai visi yang jelas dan memberi inspirasi kepada anggotanya. Visi ini tidak boleh statik sebaliknya mesti sentiasa ditinjau semula agar sesuai dengan cabaran semasa," katanya.
Selain itu, Ramanan berkata aspek tadbir urus mesti diberi perhatian kerana hanya dengan pengurusan yang cekap dan amanah barulah aset serta kekayaan koperasi dapat dijaga dengan baik.
"Seterusnya, komunikasi yang jelas antara kepimpinan dan anggota koperasi perlu diperkukuh supaya semua pihak memahami hala tuju yang telah ditetapkan dan bergerak seiring untuk mencapai matlamat bersama," katanya.
Beliau berkata koperasi bukan sahaja dapat menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 malah menjadi pemangkin kepada agenda Ekonomi MADANI yang menekankan ekonomi hijau, digital dan keterjaminan makanan.
"Inilah masa untuk koperasi menonjolkan peranannya sebagai pemacu pembangunan ekonomi rakyat secara inklusif, mampan dan berdaya tahan," kata beliau.
Pada sidang media selepas program itu, Ramanan berkata terdapat 16,000 koperasi berdaftar di seluruh negara setakat ini dan 2,000 daripadanya dikenal pasti sebagai tidak aktif.
"Kita ada banyak koperasi di Malaysia tetapi koperasi kita masih lagi jauh ketinggalan kalau dibandingkan dengan koperasi yang ada di India... mereka sangat ke depan," katanya.
Mengenai Jom@Coop, Ramanan berkata ia merupakan langkah yang diambil oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dalam mendekati rakyat terutama pemimpin dan seluruh warga koperasi.
"Inilah medium untuk mendengar denyut nadi koperasi rakyat, menyampaikan ilmu pengetahuan, maklumat dan penerangan secara terus kepada masyarakat.
"Inisiatif ini saya lihat bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu bahkan juga sebagai satu jaringan kerjasama antara IKMa dengan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam menyantuni rakyat," katanya.
Lebih 5,500 peserta mengikuti program Jom@Coop 2025 yang menampilkan forum perbincangan, bicara ilmu, pameran produk dan perkongsian kejayaan koperasi sekali gus menjadi platform pembaharuan koperasi yang segar serta inklusif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami