23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Koperasi wanita perlu lonjak pencapaian perolehan - Ewon

Bernama 05/10/2025 | 07:48 MYT
Ewon (tengah) menyampaikan Geran Bantuan Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia kepada wakil Koperasi Pembangunan Tanah Sungai Matanggar Beluran Berhad di sini, hari ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu semua koperasi wanita khususnya di Sabah melonjakkan prestasi pencapaian perolehan mereka.


Ringkasan AI
  • KUSKOP mahu koperasi wanita di Sabah tingkatkan prestasi perolehan, selepas 33 koperasi wanita di negeri itu hanya mencatat RM1.3 juta berbanding 250 koperasi wanita seluruh negara dengan RM16.2 juta.
  • Seminar Kepimpinan dan Keusahawanan Koperasi Wanita dianjurkan buat kali pertama di Sabah, sebagai usaha memberi motivasi, maklumat agensi dan galakan kepada koperasi wanita.
  • Inisiatif ini selaras dengan Dasar Koperasi Malaysia 2030, DKN 2030 dan Pelan Transformasi Koperasi, serta disokong insentif kerajaan MADANI untuk memperkukuh perniagaan koperasi dan usahawan.


Beliau berkata setakat ini, terdapat 250 koperasi wanita berdaftar di seluruh negara melibatkan pencapaian perolehan RM16.2 juta, dengan di Sabah, 33 koperasi wanita merekodkan pencapaian perolehan RM1.3 juta.

"Pencapaian perolehan bagi koperasi wanita di negeri ini sangat minimum berbanding lebih 1,900 koperasi di Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Kepimpinan dan Keusahawanan Koperasi Wanita di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia Datuk Mohd Ali Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Noor Afifah Abdul Razak.

Sehubungan itu, Ewon berkata penganjuran seminar berkenaan di Sabah untuk kali pertama merupakan antara usaha membantu melonjakkan prestasi koperasi wanita di negeri tersebut.

Seminar itu juga langkah awal untuk membantu koperasi terlibat supaya dapat menyampaikan maklumat pelbagai agensi selain memberi motivasi dan galakan kepada koperasi wanita.

Terdahulu, Ewon semasa berucap berkata penganjuran seminar untuk wanita itu dapat memberi galakan kepada warga koperasi dan usahawan wanita untuk terus relevan, berdaya saing dan berkembang maju.

Ia sekali gus menyokong pencapaian objektif Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030, Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 dan Pelan Transformasi Koperasi (TransKom) 2021-2025.

"Inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ialah membantu memudahkan aktiviti perniagaan koperasi serta usahawan di Malaysia melalui agensi.

"Pelbagai insentif bersesuaian dengan keperluan usahawan dan koperasi termasuk di Sabah dan Sarawak telah diwujudkan di bawah Kerajaan MADANI," katanya.

Seminar kepimpinan dua hari yang berakhir hari ini, disertai 150 peserta.

-- BERNAMA



#Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi #Ewon Benedick #koperasi wanita #Sabah